Istana Johor mahu 3 nama pengganti MB Johor, kata sumber


SM Amin

Istana Johor tidak akan menerima peletakan jawatan Menteri Besar Johor Osman Sapian sehingga PH memberikan tiga nama calon penggantinya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 April, 2019.

ISTANA Johor tidak akan menerima peletakan jawatan Menteri Besar Johor Osman Sapian sehingga Pakatan Harapan (PH) memberikan tiga nama calon penggantinya, kata sumber.

Sumber memberitahu kenyataan Dr Mahathir Mohamad membayangkan Bersatu sudah ada calon pilihan pengganti menteri besar seolah-olah mendahului Sultan Johor yang ada kuasa mutlak memilih teraju kerajaan negeri mengikut Undang-undang Tubuh Negeri Johor.

“Ke bawah Duli Tuanku Sultan Johor akan hanya berkenan peletakan jawatan Osman Sapian dengan syarat dikepilkan bersama-sama dengan tiga nama pilihan untuk jawatan menteri besar Johor,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Tiga nama itu adalah dalam kalangan exco Johor yang sedia ada untuk memastikan peralihan yang tersusun dan teratur serta memastikan bakal menteri besar nanti ada pengalaman dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor, tambah sumber.

Awal hari ini, Dr Mahathir menegaskan calon menteri besar adalah pilihan parti politik yang memerintah sementara Sultan Johor tiada peranan untuk memilih.

Perdana menteri juga berkata PH tidak mempunyai banyak masa untuk memilih calon pengganti Osman yang meletakkan jawatan pada Isnin.

Selain Dr Shahruddin Jamal dari Bersatu, terdapat dua lagi nama yang dikatakan bakal menggantikan kedudukan Osman iaitu Aminolhuda Hassan dari Amanah dan Mohd Khuzzan Abu Bakar dari PKR.

Dalam pada itu, sumber menafikan Osman dulu dipilih langsung oleh Sultan Johor sebaliknya keputusan mengangkat beliau jadi menteri besar itu dibuat berdasarkan senarai calon yang diserahkan oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin pada Istana.

“Oleh sebab Muhyiddin dijangka memegang jawatan menteri persekutuan ketika itu, maka tiada siapa lagi yang lebih layak untuk mewakili Bersatu untuk menjadi menteri besar di Johor pada ketika itu.

“Oleh yang demikian, barulah Sultan Johor melantik Osman Sapian sebagai menteri besar Johor,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir mengumumkan Johor kini tidak ada menteri besar kerana Osman sudah letak jawatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kempas itu menyerahkan surat memaklumkan peletakan jawatannya kepada Dr Mahathir pada Isnin. – 10 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen