BEKAS pentadbiran Najib Razak menggunakan RM2.7 bilion duit Felda untuk meraih sokongan politik menjelang pilihan raya umum yang sepatutnya peruntukan bagi menaik taraf ladang, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.
Azmin berkata RM2.7 bilion adalah sebahagian daripada RM6 bilion diperoleh Felda daripada penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGV) pada 2012.
Penyenaraian FGV berjaya memperoleh RM10 bilion dengan RM6 bilion diserahkan kepada Felda, kata Azmin ketika membentangkan kertas putih mengenai Felda di Parlimen hari ini.
Kertas putih Felda bertujuan untuk mendapatkan gambaran lengkap mengenai salah urus semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN), yang membawa kepada banyak masalah kewangan.
Kertas ini juga menggariskan strategi kerajaan Pakatan Harapan dalam memulihkan Felda, yang diwujudkan pada 1956 untuk mengeluarkan ribuan rakyat Malaysia daripada kemiskinan.
Kira-kira 1 juta individu daripada 112,600 keluarga peneroka setakat ini tinggal di 269 skim Felda di seluruh Malaysia.
Penyalahgunaan hasil daripada penyenaraian FGV adalah satu daripada banyak contoh yang disebut Azmin sebagai “corporate malfeasance” pengurusan Felda di bawah Najib yang merupakan perdana menteri pada masa itu.
Jumlah RM6 bilion yang diperoleh daripada penyenaraian FGV, RM1.4 bilion digunakan untuk pelaburan melalui transaksi meragukan, kata Azmin.
Satu lagi contoh ialah ketika Najib sendiri - yang juga menteri kewangan - mengarahkan Felda membeli saham firma perladangan Indonesia Eagle High, yang dimiliki PT Rajawali Capital International, yang terlebih harga sebanyak 96% pada 2013.
Menjelang Mac 2019, pelaburan RM2.3 bilion itu hanya mempunyai nilai pasaran sebanyak RM500 juta, kata Azmin. – 10 April, 2019.
Berita penuh di sini
Komen