PAKATAN Harapan (PH) sudah menyusun sembilan isu untuk menyerang Mohamad Hasan secara peribadi, dakwa bekas presiden Umno Najib Razak, ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau berbaki tidak sampai 72 jam.
Oleh itu, Najib mengingatkan timbalan presiden Umno itu supaya berhati-hati kerana beliau sudah dapat maklumat mengenai isu-isu yang akan dijadikan peluru menyerangnya.
“Macam Tok Mat (Mohamad) pun dah kena serang. Saya dah tahu dia kena serang saya telefon dia. Saya kata dia (PH) ada 9 isu nak tembak (serang) Tok Mat. Saya sudah dapat info dah, betul.
“Tok Mat ini orang korporat di peringkat Asia. Jadi CEO (ketua pegawai eksekutif), adalah harta sikit,” katanya semasa berkempen di Kampung Kanchong, malam tadi.
Najib merujuk isu pemindahan wang RM10 juta ke London oleh Mohamad yang dibangkitkan semula PH baru-baru ini.
Sabtu lalu, Pengerusi Amanah Negeri Sembilan Zulkefly Mohamad Omar membangkitkan semula kes 10 tahun dahulu.
Mohamad pada masa itu disiasat oleh Bank Negara Malaysia kerana memindahkan wang sebanyak RM10 juta ke London melalui pengurup wang Salamath Ali.
Semalam, pemimpin PKR Negeri Sembilan membuat laporan kepada polis dan agensi anti rasuah menggesa perkara itu disiasat.
Mohamad dalam responsnya menyifat tindakan Zulkefly itu cubaan untuk membunuh karektor beliau kerana siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini mendapati tiada unsur rasuah atau salah guna kuasa dalam transaksi itu kecuali cara menghantar wang tersebut melalui pengurup wang.
Mohamad juga berkata pemindahan wang itu adalah untuk membeli sebuah rumah di London.
“Apa salahnya dia beli satu dua apartment atau banglo. Tidak ada salah. Anak orang lain itu harta dia berbilion-bilion. Yang cakap ini bukan saya, Presiden PKR (Anwar Ibrahim) sendiri. Masa tidak baik dulu, dia serang habis-habisan.
“St Miguel siapa punya, kata dia. Dia paling takut saya jadi perdana menteri, itu reaksi beliau,” kata Najib, merujuk kenyataan Anwar semasa melawan Dr Mahathir Mohamad dulu.
Menurut Najib, beliau juga mangsa fitnah PH selama ini sehingga menyebabkan Barisan Nasional tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tahun lalu.
“Semalam apa kita dengar di Dewan Rakyat, VVIP dan cincin berlian merah jambu yang selama ini difitnah tidak dibeli oleh sesiapa tapi masa PRU, tubuh badan ini dan isteri jadi bahan fitnah.
“Kita sudah cakap ada resit, ada transaksi masuk dan keluar, tapi lebih percaya Rafizi, Tony Pua pula,” ujarnya.
Selain isu pemindahan RM10 juta tersebut, PH membangkit beberapa isu lain dalam kempen PRK Rantau antaranya harta-harta yang dimiliki oleh Mohamad dan yang terbaharu, isu pengambilan tanah di Kampung Felda Sendayan pada 2006. – 10 April, 2019.
Komen