Rosmah ditahan, bakal berdepan lebih banyak tuduhan berhubung projek solar 


Kalidevi Mogan Kumarappa

Isteri bekas perdana menteri Rosmah Mansor ditahan selepas disoal siasat oleh SPRM berhubung projek solar petang ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 9 April, 2019

ROSMAH Mansor ditahan sekali lagi hari ini untuk dihadapkan ke mahkamah esok atas tuduhan berkait dengan projek kuasa solar hibrid untuk sekolah di pedalaman Sarawak.

Rosmah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah petang ini selepas beliau hadir ke ibu pejabat agensi itu di Putrajaya untuk disoal siasat.

“Beliau akan dibebaskan selepas kenyataannya diambil,” kata seorang sumber SPRM kepada The Malaysian Insight.

“Beliau diminta hadir ke Mahkamah Sesyen di Jalan Duta esok untuk dikenakan pertuduhan tambahan.”

Rosmah meninggalkan ibu pejabat SPRM dalam keadaan tergesa-gesa pada pukul 3.15 petang menaiki sebuah kereta Proton Perdana berwarna hitam.

Kereta berkenaan juga tidak berhenti walaupun lampu isyarat merah ketika cuba mengelak daripada pemberita yang menunggu beliau.

SPRM telah membuat pendakwaan terhadap Rosmah dan bekas pembantunya, Rizal Mansor, kerana meminta RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta rasuah berkaitan projek solar bernilai RM1.25 bilion.

Kertas pertuduhan itu menyatakan RM187.5 juta itu bersamaan 15% nilai keseluruhan projek berkenaan, namun pihak pendakwaan berkata, Rosmah hanya menerima sebahagian kecil daripada jumlah yang diminta.

Projek untuk 369 buah sekolah luar bandar di Sarawak itu dianugerahkan oleh Kementerian Pendidikan menerusi rundingan terus.

Menteri pendidikan ketika itu adalah Mahdzir Khalid.

SPRM telah menahan tiga individu, termasuk seorang pengarah syarikat untuk membantu siasatan.

Najib Razak dan Mahdzir turut dipanggil ke ibu pejabat SPRM tahun lalu untuk memberi keterangan berhubung siasatan itu. – 9 April, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen