MENTERI Besar Johor Osman Sapian berada di Johor ketika pertemuan pemukiman pemimpin-pemimpin Singapura dan Malaysia berlangsung di Putrajaya, hari ini, kata sumber.
Osman sebaliknya diwakili Adun Bukit Kepong, Sahruddin Jamal, dalam pertemuan hari ini, kata pegawai di pejabat Menteri Besar Johor.
“Saya mengesahkan MB tidak hadir ke sesi pemukiman pemimpin-pemimpin Malaysia-Singapura di Putrajaya hari ni dan beliau telah mewakilkan Sahruddin Jamal, exco kesihatan alam sekitar dan pertanian untuk hadir dalam sesi tersebut,” kata Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Johor, Abdul Hakim Abdul Rahman, dalam satu kenyataan.
Ketidakhadiran Osman dalam pertemuan dua hala Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan rakan sejawatnya Lee Hsien Loong hari ini menghangatkan lagi desas desus beliau akan melepaskan jawatan menteri besar dalam masa terdekat.
Sumber kerajaan di Putrajaya memberitahu The Malaysian Insight, Osman pulang ke Johor malam tadi selepas pertemuan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad petang semalam.
“Osman difahamkan balik sebab hari ini beliau ada pertemuan dengan pegawai-pegawai di pejabatnya,” kata sumber itu.
Semalam, Osman mengadakan pertemuan bersama Dr Mahathir di Pejabat Perdana Menteri kira-kira 20 minit.
Osman tiba sejak jam 3 petang dengan menaiki kenderaan MPV hitam dan beredar kira-kira pukul 6.50 petang, hampir empat jam kemudian mengikut laluan berbeza.
Tiada butiran mengenai perbincangan antara Osman dan perdana menteri.
Setiausaha Akhbar Menteri Besar Johor sebelum ini menolak khabar angin Osman yang juga Adun Kempas akan digugurkan daripada jawatannya minggu ini.
Abdul Hakim juga berkata, Osman dijadualkan menghadiri mesyuarat bersempena pemukiman pemimpin-pemimpin Singapura dan Malaysia yang ke-9, hari ini. – 9 April, 2019
Komen