KAJIAN yang didakwa menyebabkan Raja-Raja Melayu menolak Statut Rom didedahkan untuk menuntut penjelasan lebih lanjut, kata aktivis pelajar Asheeq Ali Sethi Alivi.
Graduan yang bertanggungjawab memuatkan kajian tersebut di media sosial itu berkata, beliau berhasrat agar hujah ahli akademik dalam kajian tersebut diperdebatkan.
Beliau kecewa kerana hujah ahli akademik berkenaan berat sebelah dan kerajaan pula dilihatnya tidak berusaha untuk menerangkan kekeliruan di sebalik isu tersebut.
“Saya muat naik kandungan kajian itu kerana kerajaan kata ada kekeliruan tapi tiada usaha untuk memberi penerangan dan betulkan kekeliruan, jadi terpaksa buat macam itu.
“Saya juga mahu ahli akademik perdebatkannya dengan lebih mendalam, sebab itu saya muat naik.
“Kerajaan juga tidak menjelaskan kepada rakyat dengan menyeluruh apa kekeliruan yang berlaku,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Asheeq Ali, 24, menegaskan dokumen yang dimuat ke laman Facebook itu diperolehi daripada sumber akademik yang boleh dipercayai.
Dalam tulisan di Facebook, graduan itu berkata beliau percaya, pandangan daripada ahli akademik berkenaan merupakan punca sebenar kekeliruan ke atas Statut Rom.
“Kami juga membuat pendedahan ini supaya ahli akademik ini boleh tampil memberikan penjelasan dan berdebat dengan sihat. Mereka inilah punca kekeliruan yang sebenarnya,” katanya.
Berdasarkan rumusan tersebut, Asheeq Ali berpendapat, hujah yang dikemukakan ahli akademik berkenaan berat sebelah kerana hanya menjelaskan sebab untuk menolak perjanjian berkenaan.
Katanya, pengkaji berkenaan sepatutnya turut menjelaskan kebaikan menyertai Statut Rom untuk dipertimbangkan oleh Majlis Raja-Raja dengan sewajarnya.

Rumusan eksekutif kertas kerja itu didakwa dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja pada 2 April dan didakwa menyebabkan Raja-Raja Melayu menolak Statut Rom.
Kajian itu melibatkan profesor undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Rahmat Mohamad, dan juga dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Shamrahayu Abdul Aziz.
Menteri Luar, Saifuddin Abdullah pada Sabtu mengesahkan bahawa Rahmat merupakan antara empat orang yang dipanggil untuk menjelaskan isu berkenaan kepada Majlis Raja-Raja pada 2 April.
Dua lagi yang didakwa turut terlibat dalam kajian itu ialah pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Fareed Mohd Hassan dan Hisham Hanapi.
Asheeq dalam kenyataannya turut mempersoalkan kaedah rundingan dan pembentangan kepada Raja-Raja Melayu itu yang dibuat secara sulit.
Walhal, perkara pokok yang terkandung dalam Statut Rom itu melibatkan perlindungan kepada rakyat jelata daripada kekejaman pemerintah, katanya.
Rumusan tersebut, seperti yang didedahkan Asheeq antara lain menyebut, Yang di-Pertuan Agong boleh didakwa di Mahkamah Jenayah Antarabangsa sebagai pemerintah pasukan tentera.
Dokumen berkenaan menegaskan bahawa fungsi Agong itu sebagai pemerintah tertinggi pasukan tentera dan bukan hanya pemimpin secara simbolik atau istiadat.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika mengumumkan keputusan Malaysia menarik diri dari perjanjian tersebut pada Jumaat menjelaskan perkara itu tidak benar.
Katanya, Agong tidak akan didakwa ke atas empat jenayah utama dalam statut tersebut – pembunuhan kaum, jenayah kemanusiaan, jenayah perang, dan jenayah kekerasan.
Tegasnya, tanggungjawab undang-undang ke atas jenayah tersebut dipikul oleh perdana menteri dan Kabinet, dan kerajaan tidak akan melakukan jenayah seperti. – 9 April, 2019.
Komen