OSMAN Sapian mengelak bertemu wartawan semasa kunjungannya ke pejabat perdana menteri untuk bertemu Dr Mahathir Mahathir di Putrajaya hari ini.
Wartawan yang menunggu untuk bertanya mengenai spekulasi bahawa beliau akan digantikan sebagai menteri besar Johor itu hampa kerana Adun Kempas itu enggan ditemuramah.
Osman tiba sejak jam 3 petang dengan menaiki kenderaan MPV hitam dan beredar lebih tiga jam kemudian mengikut laluan berbeza.
Tiada butiran mengenai perbincangan antara Osman dan perdana menteri hari ini.
The Malaysian Insight difahamkan, isu kedudukan Osman dibincangkan dengan pihak Istana Johor ketika Dr Mahathir bertemu dengan Sultan johor Sultan Ibrahim pada Januari lalu.
Pertanyaan yang diajukan kepada Setiausaha Akhbar Osman, Abdul Hakim Ab Rahman, juga tidak berjawab.
Bagaimanapun, Abdul Hakim memberitahu The Star, pertemuan antara Osman dan Dr Mahathir adalah “mesyuarat berjadual”.
Menurutnya ia sebahagian daripada persiapan Pemukiman Pemimpin Singapura-Malaysia Kesembilan, menjelang ketibaan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong ke Malaysia esok.
Osman, yang juga Adun Kempas, sering jadi perhatian atas insiden yang kurang disenangi.
Paling baru, beliau dikritik kerana ke Batam atas lawatan rasmi ketika krisis pencemaran sisa buangan toksik di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang.
Osman teruk diselar meskipun memendekkan tempoh lawatan kerjanya.
Pada Januari, Osman dituduh menceroboh perairan Singapura dengan menaiki bot untuk memantau tahap keselamatan perairan negara dalam keadaan hubungan diplomatik yang tegang antara Malaysia dengan republik itu.
Osman turut meraih kontroversi dalam isu penukaran status hutan simpan Pulau Kukup kepada tanah kesultanan dan yang paling baru bantahan dari Istana Johor terhadap ratifikasi Statut Rom.
Antara calon yang disebut-sebut menggantikan tempatnya ialah Adun Bukit Kepong, Sahruddin Jamal, juga dari Bersatu. – 8 April, 2019.
Komen