Kementerian Kesihatan tak halang penyelidikan ganja perubatan, kata menteri


Mikha Chan

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya tidak menghalang sesiapa untuk mendapatkan persetujuan kementerian untuk menjalankan penyelidikan ganja perubatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 April, 2019 

KEMENTERIAN Kesihatan tidak menghalang penyelidikan ganja perubatan dilakukan, kata Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad.

“Saya sudah berkata berkali-kali. Perkara penyelidikan tentang marijuana perubatan ini jatuh di bawah bidang kuasa saya.

“Kami tidak akan menghalang mereka yang memohon untuk mendapatkan persetujuan kementerian,” katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan di Putrajaya hari ini.

Ini berikutan kenyataan baru-baru ini oleh Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Zulkifli Abdullah bahawa terserah kepada Kementerian Kesihatan untuk memutuskan sama ada marijuana perubatan harus disahkan atau tidak.

Putrajaya tahun lalu memberi gambaran bersedia untuk menggubal undang-undang mengenai ganja berikutan hukuman mati yang dikenakan terhadap Muhammad Lukman Mohamad, seorang bapa berusia 29 tahyn yang disabitkan atas kesalahan memproses, memiliki dan mengedar minyak ganja kepada pesakit.

Kesnya masih menunggu rayuan.

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan boleh mengkaji semula kes Lukman manakala Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata, undang-undang yang dicadangkan untuk mengharamkan penggunaan ganja perubatan sedang dirangka. – 8 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen