Pemimpin Pakatan pencetus sebenar rusuhan kuil, dakwa Pemuda Umno


SM Amin

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa, rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman pada November lalu berpunca daripada kenyataan anggota Exco Selangor dari DAP, V Ganabatirau pada malam sebelum rusuhan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 8 April, 2019.

UMNO menyalahkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) sebagai pencetus sebenar rusuhan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman pada November lalu.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa, rusuhan itu berpunca daripada kenyataan anggota Exco Selangor dari DAP, V Ganabatirau pada malam sebelum rusuhan.

Beliau mengakui kes itu sememangnya melibatkan perbalahan di antara dua kelompok pentadbir kuil dan pergaduhan tercetus apabila pemaju mengupah samseng ke kuil tersebut.

Namun menurut Asyraf, tindakan pemaju mengupah samseng Melayu itu bukan pencetus sebenar kerana kes itu bukannya pertembungan antara orang Melayu Islam dan kaum India.

“Perbalahan antara pemaju dengan jawatankuasa kuil. Jawatankuasa kuil pula berpecah dua satu yang terima duit dan satu lagi yang tidak dapat duit.

“Yang tidak dapat duit ini hendak kekalkan kuil. Pemaju minta samseng gertak kuil tetapi lepas itu kena balun. Habis kereta-kereta dibakar, kecoh satu negara,” katanya.
 
Menurut Asyraf, tragedi yang menyebabkan seorang anggota bomba meninggal dunia itu dapat dielakkan sekiranya pemimpin PH tidak menjadikannya isu agama dan perkauman, katanya.

“Siapa orang pertama yang mengeluarkan kenyataan pagi itu? Exco DAP Ganabatirau dia kata malam tadi orang Islam serang kuil di Seafield. 

“Yang memainkan isu perkauman bukan Umno, PAS, MCA atau MIC tetapi DAP dan Pakatan Harapan,” dakwanya semasa berceramah dalam kempen PRK DUN Rantau malam tadi.

Siasatan polis menunjukkan tindakan pemaju yang mengupah seramai 50 samseng Melayu dengan bayaran RM150,000 untuk mengawal kuil tersebut pada awal pagi 26 November lalu.

Susulan itu, ramai penganut Hindu dan kumpulan masyarakat India tampil pada dinihari tersebut untuk mempertahankan kuil itu.

Ganabatirau memohon maaf atas tulisannya di Facebook yang menyebut orang Islam menyerang kuil berkenaan. Exco berkenaan disiasat polis mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata, tindakan pemimpin masyarakat India dari kalangan parti PH yang mendakwa polis lambat bertindak dalam kejadian itu juga menyemarakkan lagi kemarahan.

“Kalau dia buat kenyataan untuk meredakan kaum India tidak apa tetapi ini dia curah lagi api. Dia kata polis tidak mampu hendak kawal keadaan.

“Sebab itu malam kemudiannya itu 10,000 orang India berkumpul di Kuil Mariamman dan berlaku peristiwa yang menyayat hati kita semua kehilangan saudara Adib. 

“Inilah sebenarnya perkauman, permainan agama menghasut rakyat oleh Pakatan Harapan,” katanya ujarnya.

Dalam keadaan kacau-bilau pada malam seterusnya, 27 November, anggota bomba Muhammad Adib cedera parah semasa bertugas dan seterusnya meninggal dunia di hospital 

Prosiding inkues untuk menyiasat punca kematian pemuda tersebut kini berlangsung sehingga 12 April.

Asyraf menimbulkan kes itu semasa ucapannya kepada kumpulan pengundi Melayu di Felda Sendayan pada malam tadi.

Kumpulan pengundi itu merupakan kelompok terbesar dalam DUN Rantau (53%), diikuti India (27%) serta Cina (18%).

Bekas menteri besar Negeri Sembilan, Mohamad Hasan yang juga timbalan presiden Umno bertanding semula selepas kemenangannya dalam PRU14 dibatalkan.

Beliau dicabar calon PH Dr S Streram dan dua calon Bebas, R Malarvizhi dan Mohd Nor Yasin. – 8 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen