SEORANG lelaki Belanda melengkapkan perjalanan sejauh 95,000 kilometer menggunakan kereta elektrik apabila tiba di Sydney hari ini, sebagai usaha menunjukkan ketahanan kereta itu dalam menangani perubahan iklim.
Wiebe Wakker memandu kereta elektrik yang dinamakan ‘The Blue Bandit’ ketika menjelajah 33 negara dan menyifatkan usahanya itu sebagai perjalanan paling jauh di dunia menggunakan kereta elektrik.
Perjalanan dari Belanda ke Australia itu mengambil masa lebih tiga tahun dan dijana boleh derma awam dari seluruh dunia untuk menampung keperluannya sepanjang perjalanan itu.
Wakker memandu di banyak negara termasuk Turki, Iran, India, Myanmar, Malaysia dan Indonesia, serta menggunakan laluan yang diterima menerusi laman webnya.
“Saya mahu mengubah pandangan orang dan memberi inspiras untuk menggunakan kereta elektrik dengan menunjukkan ketahanan kenderaan itu.
“Jika seorang lelaki boleh memandu ke negara lain menggunakan kereta elektrik, maka kenderaan elektrik sepatutnya boleh digunakan dalam kehidupan seharian,” katanya.
Wakker berkata sebelum keretanya itu diubah suai, ia perlu menggunakan 6, 785 liter minyak untuk melengkapkan perjalanan jauh itu.
Kereta yang diubah suai itu boleh berjalan sejauh 200 kilometer setiap kali dicas, dan dia hanya menghabiskan kos sebanyak AS$300 untuk mengecas elektrik. – AFP, 7 April, 2019.
Komen