BEKAS duta Noor Farida Mohd Ariffin, yang sebelum ini membantu Wisma Putra menyediakan rangka penyertaan ratifikasi Statut Rom, berkata Putrajaya gagal menyusun rancangan untuk menjawab tuduhan yang “benar-benar tidak masuk akal” mereka yang membantah Malaysia menandatangani perjanjian antarabangsa itu.
Jurucakap kumpulan G25 itu berkata kerajaan Pakatan Harapan sepatutnya memberi maklumat yang tepat kepada raja-raja dan “orang Melayu yang tidak tahu” tentang statut itu yang mengawal Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
Noor Farida, yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarah di Penyelidikan, Perjanjian dan Jabatan Undang-undang Antarabangsa Kementerian Luar Negara di bawah pemerintahan sebelum ini, berkata Pakatan Harapan telah terjerumus ke dalam kempen ahli politik pembangkang, golongan Islamis dan kumpulan berhaluan kanan Melayu kerana Putrajaya tidak mempunyai perancangan untuk menangani naratif pembangkang.
“Mereka tidak mempunyai perancangan komunikasi untuk memberitahu dan mendidik para penguasa dan orang Melayu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Noor Farida diminta mengulas mengenai pengumuman kerajaan pada hari Jumaat bahawa ia akan menarik diri daripada meratifikasi Statut Rom tersebut, yang disepakati pada bulan lalu.
Beliau kedengaran kecewa ketika bercakap kepada The Malaysian Insight melalui telefon, dan mengakui, bahawa beliau sangat kecewa.
“Hampa tu perkataan lembutnya, sebenarnya saya sangat-sangat kecewa,” jelasnya.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini dilaporkan menyalahkan “kekeliruan politik” yang berpunca daripada mereka yang mempunyai agenda politik, di samping memberi isyarat ia ditujukan terhadap seorang anggota diraja tanpa menamakannya.
Noor Farida menyatakan bahawa kerajaan di bawah Barisan Nasional sebenarnya telah meluluskan ratifikasi Statut Rom tersebut.
Beliau bertanggungjawab membantu menyediakan Kertas Kabinet untuk penyertaan pada bulan Mac 2011 dan kabinet turut bersetuju untuk meratifikasi Statut Rom selepas membaca kertas yang disediakan beliau itu.
Bagaimanapun, beliau menambah bahawa undang-undang tersebut tidak pernah disahkan kerana bekas menteri luar negara Anifah Aman tidak menandatangani rangka penyertaan yang sepatutnya diserahkan kepada Setiausaha Agung PBB.
Noor Farida berkata beliau tidak tahu sebab mengapa Anifah tidak menandatanganinya.
Beliau juga mengatakan bahawa pengesahan perjanjian itu tidak akan menjejaskan kedudukan raja berperlembagaan negara, kerana “tidak mungkin terjadi tentera kita melakukan pembunuhan beramai-ramai atau negara mula bertindak ganas”.
Beliau berkata walaupun Yang Di-Pertuan Agong adalah komander tertinggi angkatan bersenjata, beliau dilindungi kerana menjadi ketua nominal sebagai raja berperlembagaan, tanpa kuasa eksekutif.
“Agong tidak memberikan perintah langsung kepada mereka (tentera) dan dia mendapat nasihat dari Perdana Menteri. (Dan) Saya tidak fikir Agong kita akan memerintahkan pasukan tentera kita untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai. “
Noor Farida berkata dakwaan dan hujah mereka yang membantah Statut Rom adalah “benar-benar tidak masuk akal”.
“Bagaimana mereka boleh mengatakan bahawa ia menentang Islam? Adakah Islam tidak melawan empat jenayah antarabangsa - pembunuhan beramai-ramai, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang, dan jenayah pencerobohan - sedangkan Statut Rom ditubuhkan untuk menanganinya?
“Adakah menyertai negara lain untuk berkata, ‘kita juga menentang pembunuhan beramai-ramai, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang, dan jenayah pencerobohan’ adalah sebuah penentangan terhadap raja dan orang Melayu?”
Noor Farida, yang merupakan salah seorang anggota perintis G25, berkata penentangan terhadap Statut Rom sama dengan mengatakan bahawa orang Melayu, muslim, agama Islam dan raja-raja menyokong jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai.
“Mereka menghina Islam dan benar-benar salah tafsir Al-Quran dengan mengatakan Islam menyokong pembunuhan beramai-ramai.”
Pembangkang, yang mempolitikkan isu itu hanya mahu “mempergunakan orang Melayu yang jahil” dengan menggunakan kaum dan agama bagi menggulingkan kerajaan sekarang, katanya.
Noor Farida menggesa Putrajaya untuk “mengatasi ketakutan” mereka daripada kehilangan sokongan Melayu dan menyebarkan maklumat mengenai kepentingan perjanjian antarabangsa.
“Saya harap setelah riuh ini dah sejuk, mereka kemudian pergi sediakan maklumat. Lawan naratif pembangkang. Jika orang Melayu ditipu, terangkan kepada mereka.
“Pergi berjumpa raja-raja. Dapatkan sokongan daripada Majlis Raja-Raja.
“Kerajaan perlukan rancangan komunikasi yang baik kerana perlu mendapatkan penyertaan mereka (raja-raja) di sebalik tabir usaha ratifikasi statut tersbut.
Farida juga percaya “tiada apa yang akan berlaku” jika Putrajaya bersikap tegas dengan pendiriannya dan keputusannya untuk mengesahkan undang-undang tersebut.
“Saya harap mereka memikirkan semula perkara itu.” – 7 April, 2019.
Komen