PENGUNDI perlu memastikan Mohamad Hasan menang supaya Pakatan Harapan tidak jadi terlalu angkuh selepas hampir setahun menjadi kerajaan, kata Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.
Khairy berkata pemilih perlu mencontohi sikap pengundi Cina yang menyokong DAP dalam PRU14 supaya Barisan Nasional tidak menjadi terlalu kuat dan angkuh.
“Pengundi Cina ini jujur. Kalau dulu pengundi Cina sokong DAP sebab mereka tidak mahu BN jadi terlalu kuat, terlalu angkuh, saya kata samalah sekarang.
“Kalau mereka (Pakatan Harapan) pegang semua jadi angkuh, sombong, boleh tengok dalam Parlimen cara jawab besar kepala sebab terlalu banyak kuasa,” kata bekas menteri itu.
Dalam ucapan di kawasan Perumahan Rakyat Sri Lalang, dalam DUN Rantau malam tadi, Khairy mengakui bahawa pilihan raya kecil ini tidak akan mengubah kerajaan.
Namun bekas ketua Pemuda Umno itu menegaskan. Mohamad perlu dipilih untuk memastikan wujud pembangkang yang kuat dalam DUN Negeri Sembilan.
Katanya pembangkang yang kuat itu akan dapat menyemak kuasa menteri besar PH.
“Kalau Tok Mat menang kita tidak akan ambil kerajaan pada hari ini tetapi sekurang-kurangnya kita letakkan timbalan presiden semula ke dalam DUN Negeri Sembilan,” katanya lagi.
Tambah Khairy, kemenangan BN dalam PRK Cameron Highlands dan Semenyih juga disebabkan rakyat berasa menyesal kerana memilih PH.
Terdahulu, Khairy menghadiri program presiden MCA bersama masyarakat Cina di pekan Rantau yang dihadiri lebih daripada 1,000 orang.
DUN Rantau mempunyai 55% pengundi Melayu, India (26%) dan Cina (18.5%).
Pengundian pada 13 April ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PH Dr S Streram, calon BN Mohamad Hasan, dan dua calon Bebas R Malarvizhi dan Mohd Nor Yassin. – 7 April, 2019.
Komen