Taufan Talim badai wilayah Okinawa Jepun


Taufan Talim melanda Filipina dan Taiwan pada 12 dan 13 September lalu sebelum mengubah haluan ke Jepun. – Gambar EPA, 14 September, 2017.

KEPULAUAN di wilayah selatan Jepun, Okinawa pada Khamis dilanda hujan ribut kesan daripada taufan Talim, menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA) lapor agensi berita China Xinhua. 

Taufan berkenaan menyebabkan 20,000 buah rumah di bandar Miyakojima terputus bekalan elektrik kira-kira pukul 5 pagi waktu tempatan.

Menurut agensi cuaca itu, taufan mengganas di utara barat laut Pulau Miyako sebelum bergerak ke arah utara barat daya pada kelajuan 15 kilometer sejam pada pukul 6 pagi.

Lebih 500 milimeter curahan hujan dicatatkan di bandar Miyakojima, Pulau Miyako dalam tempoh 24 jam lepas, dua kali ganda berbanding jumlah biasa.

Curahan hujan luar biasa itu juga disifatkan paling banyak dalam tempoh setengah abad.

Semua penduduk di kawasan terjejas dinasihatkan sentiasa berhati-hati memandangkan potensi berlakunya banjir lumpur dan gelombang angin kuat adalah tinggi.

Menurut JMA, taufan Talim dijangka singgah di tanah besar di barat dan timur Jepun pada hujung minggu. – Bernama, 14 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen