MOHAMAD Hasan berkata banyak masalah pengundi India di Rantau berjaya diselesaikan ketika beliau menjadi Adun Rantau selama tiga penggal dan menteri besar Negeri Sembilan selama 14 tahun
“Tak payah dengar cakap orang, ada yang kata saya jadi menteri besar 14 tahun tak buat apa apa. Saya tak tahu gua mana dia duduk. Kita buat macam-macam.
“Di dalam Negeri Sembilan, terutamanya orang India semua masalah saya selesaikan, daripada masalah kuil, masalah tanah, dan SJKT, semua masalah tanah kita selesaikan.
“Di Rantau, kuil lebih banyak daripada masjid, itu pun mahu cakap saya rasis. Dia yang kepala otak tak betul,” kata calon Barisan Nasional untuk Pilihan Raya Kecil Rantau itu tanpa menyebut nama sesiapa.
Beliau berkata demikian ketika berkempen di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Bandar Ekar, di Rantau malam tadi.
Pengundi yang ditemui The Malaysian Insight turut mengakui perkara itu, malah beranggapan Mohamad adalah calon terbaik berbanding calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram.
Wong Chee Keong, 39, berkata, pentadbiran Mohamad turut membantu komuniti Cina di kawasan berkenaan, berbanding Dr Streram yang hanya muncul sewaktu kempen.
“Tok Mat ada kita nampak kerja, dia baguslah, Streram hanya pilihan raya baru keluar, dia pun saya tak tahu siapa, saya tak pernah jumpa, kalau dia kata pernah ada datang Rantau mungkin dia jumpa kawan dialah,” katanya, merujuk kepada nama panggilan Mohamad, ketika ditemui menghadiri kempen BN malam tadi.
“Dulu Dataran Rantau, Tok Mat bersihkan, di Mambau kawasan itu gelap, zaman Tok Mat jadi menteri besar dia naik taraf, dia ada tolong Cina, sekolah Cina dia ada tolong, tokong Cina pun dia ada bantu, itu dari pihak orang Cina, kaum-kaum lain macam India saya tak pasti,” katanya.
Prakash a/l Ragu, 36, berkata, keadaan di bawah kerajaan baharu juga menyukarkan rakyat, terutama golongan yang memerlukan.
“Tok Mat ada buat macam-macam, dia tidak ada masalah, banjir dulu di sini saya nampak dia datang jalan kaki, sekarang macam-macam hal, orang susah pun kerajaan tidak bantu, kita nampak sekarang makin teruk,” katanya.
Bekas perdana menteri Najib Razak dalam ucapannya malam tadi turut mengakui jasa Mohamad, antranya pembangunan Bandar Sri Sendayan yang adalah hasil buah fikiran Mohamad.
“Kalau kita nak perubahan kepada landskap politik kita mesti beri kemenangam besar pada Tok Mat. Banyak jasa dia pada kita, jadi macam mana mahu lagi,” kata Najib.
DUN Rantau mempunyai 20,926 pengundi berdaftar, yang terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, 118 pengundi awal dan 4 pengundi tidak hadir.
Sejumlah 11,283 pengundi atau 55.11% daripadanya adalah pengundi Melayu, 3,849 atau 18.80% Cina dan 5,336 atau 26.06% adalah pengundi India.
PRK Rantau menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Mohamad, Streram dan 2 calon Bebas, Malar Rajaram dan Mohamad Nor Yassin. – 6 April, 2019.
Komen