'Common People' dan masyarakat acah prihatin


Nomy Nozwir

SEBENTAR sahaja tadi, terlintas di playlist saya, lagu popular kumpulan Britpop pada 1995 daripada Pulp, berjudul “Common People”.

Lagu itu mengisahkan tentang crush penyanyi kumpulan itu, Jarvis Cocker ketika belajar di St Martins College mempelajari ilmu filem.

Lagu ini kalau tak pernah dengar, boleh didengari di YouTube, sudah 24 juta tontonan.

Saya mendengar lagu ini ketika saya remaja dan membesar dengan Britpop. Kumpulan seperti Blur, Suede, Manic Street Preachers dan Oasis sering berkumandang di radio.

Lagu ini senang saja. Kisah seorang lelaki miskin masuk universiti dan ada perasaan terhadap seorang gadis kaya dari Greece, mengikut kisah cerita lagu itu. 

Perasaan ingin ada hubungan seks tu memang sentiasa ada dalam diri kita, kalau menurut ilmu Freudian.

Saya nampak lagu ini sangat relevan dengan masyarakat kita hari ini. Bukan sebab kerana saya miskin dan hendak meniduri perempuan kaya.

Tapi dalam lagu itu menceritakan tentang “poverty tourist” atau “class tourism” yang makin kerap berlaku dalam masyarakat kita hari ini.

Trend ini bukannya baru. Masa zaman hippies dulu, mereka hisap ganja bersama orang miskin sebab nak jadi cool lepak dengan orang miskin.

Trend ini berlarutan sampai sekarang, sampai evangelist Kristian dan kariah surau pun buat benda ini. Masuk kawasan Orang Asli konon nak menolong, tapi nak basuh minda orang miskin dan Orang Asli, untuk ikut gaya hidup mereka.

Benda ini ramai anak orang kaya buat sekarang. Lepak dengan Orang Asli. Tolong buat titi jambatan. Tolong bagi makanan. Tolong buat parit. Tapi datang membawa agenda dan telefon kamera untuk selfie bersama orang miskin dan kejar likes di Instagram.

Jarvis Cocker berasal dari Sheffield, kawasan perindustrian yang merudum sejak 1970-an. Dan kemudian Perdana Menteri Margaret Thatcher “memahathir” (menswastakan) semua benda sampai pekerja kilang tak mampu nak bayar api bayar air.

Jarvis Cocker hidup pada zaman pekerja kilang memprotes melawan polis pada dekad 80-an. Orang yang duduk Liverpool, Leeds, Manchester, Sheffield, Macclesfield dan Hull mana pernah suka Margaret Thatcher.

Hari Margaret Thatcher mati semua orang di wilayah ini buka botol champagne dan berpesta berhari-hari. Pesta Ding Dong The Witch Is Dead sana sini. 

Jadi memang ketaralah kita tahu dari segi politik, Jarvis Cocker ni macam mana orangnya.

Hari ini, golongan elit terutamanya anak muda kerap masuk kampung Orang Asli. Menyebar fahaman mereka, walaupun adakalanya berkurang ajar dengan orang kampung.

Ramai sahaja yang memperlekeh budaya tempatan, dan ramai juga yang terngiang-ngiang dalam fikiran kopi frappucino sebab sudah bosan minum air sungai.

Lagu Common People menceritakan seorang gadis kaya dari Greek yang mahu hidup bersama orang miskin, mahu tidur bersama lelaki miskin – seperti watak lelaki dalam lagu ini.

Tetapi bila ada lipas merayap di dinding, terus telefon ayah suruh hantar orang selesaikan masalah serangga dalam flat.

Ramai saja anak orang kaya yang acah prihatin dengan masyarakat dengan membuat kebajikan sambil menyebarkan ideologi mereka.

Mereka mahu nilai budaya tempatan dihakis dan digantikan dengan budaya mereka yang diimport dari Kant, Rosseau, Paine dan paling sakit, Bill Maher.

Dan ironinya, saya terpaksa menggunakan lagu dari negara penjajah untuk terangkan situasi yang berlaku di Malaysia ini.

Mungkin tak ada lagu Melayu yang paling hampir untuk menerangkan tentang fenomena ini. Paling dekat pun lagu Tiara dari kumpulan Kris. Itu pun, lagunya kisah lelaki masuk penjara bertemankan sepi sambil teringat makwe kayanya.

Asal miskin, masuk penjara. Tak pun dihina. Kenapa lirik Melayu selalu macam ni? – 6 April, 2019.

* Nomy Nozwir merupakan seorang bekas wartawan yang kini menjadi penulis novel alternatif dengan nama Nami Cob Nobbler. Beliau berkicau di @comradenami.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen