Pendeposit perlu tuntut hibah Tabung Haji lebih tinggi, kata Najib


Mohd Farhan Darwis

Jangan salahkan BN lagi, kerana hibah turun kerana saham jatuh, kata bekas perdana menteri Najib Razak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 6 April, 2019.

PENDEPOSIT Lembaga Tabung Haji (TH) mereka perlu menuntut hibah yang lebih tinggi, kata Najib Razak.

Bekas perdana menteri itu berkata, kadar 1.25% hibah yang diumumkan TH semalam adalah paling rendah dalam sejarah dan berita menyedihkan buat 9.3 juta pendeposit badan pengendali ibadah haji itu.

“Kita tunggu harga minyak turun RM1.50 sen seliter, tapi hibah Tabung Haji yang turun, saya sedih, sebab dalam sejarah ini paling teruk dividen TH.

“Janganlah salahkan kita (Barisan Nasional) lagi, tahu apa sebab hibah jatuh sampai 1.25%, sebab harga saham jatuh,” kata Najib, ketika berucap dalam program bersama pengundi di kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau, malam tadi.

Najib berkata, pulangan hibah yang rendah itu disebabkan kejatuhan harga saham TH, ekoran kerajaan Pakatan Harapan tidak mampu mengurus ekonomi dengan baik.

“TH tidak boleh bagi dividen sebab saham TH jatuh, TH ada Bank islam, ada saham dalam syarikat berkaitan kerajaan, (saham) semua jatuh sebab mereka tidak kendali ekonomi dengan betul.

“Yang susah rakyat biasa, rakyat mesti tuntut, jangan terima hibah yang begini rendah, pergi sana jengkal muka mereka. Sekali lagi rakyat kena kencing,” kata Najib.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, sejak pemerintahan PH, setiap hari rakyat disajikan dengan berita yang menyedihkan.

“Minggu ini sahaja tiap-tiap hari ada berita tidak baik, hari ini TH, sedih saya, kita lihat eksport turun, pelancong kurang hingga 15%.

“Macam mana mahu maju resort-resort kita di Negeri Sembilan ini, Melaka, sekiranya pelancong tidak datang dari luar, pelaburan di Pulau Pinang juga dilaporkan turun 50%,” kata Najib lagi.

TH semalam mengumumkan agihan hibah sebanyak 1.25% membabitkan pengagihan berjumlah RM913 juta kepada semua pendeposit bagi tahun kewangan 2018.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof, berkata pelan penstrukturan yang dilaksanakan membuktikan keprihatinan kerajaan bagi menyelamatkan TH demi kepentingan 9.3 juta pendeposit.

“Dalam menzahirkan komitmen ini, kerajaan akan menyediakan peruntukan RM500 juta pada 2020 dan seterusnya sebanyak RM1.73 bilion setahun sehingga semua sukuk ditebus semula.

“Jumlah keseluruhan peruntukan kerajaan selama 10 tahun dianggarkan sebanyak RM17.8 bilion. Ini adalah kesan daripada kelemahan dan salah guna kuasa pentadbiran yang lalu.

“Manipulasi akaun membolehkan hibah diisytihar pada kadar yang tinggi walaupun jurang defisit terus meningkat. Kerajaan terus komited dalam memastikan ketelusan dalam operasi dan kedudukan kewangan TH pada masa depan,” kata Mujahid ketika pengumuman itu. – 6 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen