Bahas tarik balik Statut Rom di Parlimen


KEPUTUSAN kerajaan untuk menarik balik keputusan meratifikasikan Statut Rom perlu dibahaskan di Parlimen memandangkan terdapat salah pemahaman terhadap undang-undang tersebut.

Parlimen adalah tempat terbaik untuk isu tersebut dibahaskan oleh ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan para Senator di Dewan Negara. Malah perbahasan akan lebih efektif sekiranya perkara tersebut dibawa ke Jawatankuasa Pilihan (Select Committee) berkaitan.

Saya pernah ke Hague, Belanda mewakili negara ketika menjadi ahli Parlimen dulu bersama menteri undang-undang terdahulu, peguam negara terdahulu, wakil Kementerian Luar, juga beberapa ahli Parlimen dari pembangkang dan kerajaan.

Kami mendapat penjelasan langsung dari presiden /ketua hakim Mahkamah Jenayah Antarabangsa seorang profesor dari Korea dan ketua pendakwa raya, wakil dari negara-negara yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan seperti Norway, Jepun dan lain-lain serta pakar undang-undang jenayah antarabangsa terutama sekali mengenai Statut Rom dan jenayah kemanusiaan (Crime Against Humanity) dari ICC dan pakar undang-undang berkaitan dari Leiden University.

Malah Kabinet di bawah kepimpinan Najib Razak sendiri yang bersetuju untuk ratifikasi Statut Rom kalau tak salah saya sekitar tahun 2011. Boleh rujuk rekod Mesyuarat Kabinet. 

Untuk tujuan rekod saya bersetuju dengan pandangan yang diberikan oleh Tun Dr Mahathir ketika memberi penjelasan mengenai Statut Rom dan rasional keputusan yang dibuat sebelum ini. Penjelasan Tun Dr Mahathir mengenai undang-undang tersebut memang tepat. Ianya sama seperti mana taklimat yang diberikan kepada saya semasa di Hague.

Saya akui International Criminal Law, apatah lagi undang-undang mengenai ICC adalah satu perkara baru untuk kita di Malaysia.

Untuk pengetahuan kawan-kawan, salah seorang pakar undang-undang berkaitan dengan ICC adalah rakyat Malaysia yang banyak menjadi peguam bela di Mahkamah Jenayah Antarabangsa bersama suami beliau seorang Queen Counsel di London yang merupakan mantan presiden Persatuan Peguam Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Saya percaya mereka ini boleh dijemput oleh kerajaan Malaysia untuk memberi permahaman kepada warga Malaysia terutama pemimpin kerajaan dan pembangkang terhadap kedudukan sebenar Statut Rom, ICC dan jenayah kemanusiaan dan implikasinya kepada Malaysia selepas diratifikasi.

Saya yakin perbahasan di Parlimen akan menjadi lebih efektif dan kerajaan boleh mengambil keputusan berdasarkan Hasil perbahasan tersebut. – 5 April, 2019


* Yusmadi Yusoff merupakan seorang Senator. 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen