Perompak mana tinggalkan RM174 bilion untuk Petronas, soal Najib


SM Amin

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata beliau meninggalkan Petronas dengan simpanan tunai berjumlah RM174 bilion selepas kerajaan bertukar tangan semasa ceramah di Bandar Sri Sendayang, Negeri Sembilan malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 5 April, 2019.

BEKAS perdana menteri Najib Razak menafikan dakwaan beliau mencuri daripada tabung kerajaan ketika masih memegang tampuk kuasa, mengatakan pentadbirannya meninggalkan syarikat minyak negara Petronas dengan simpanan tunai berjumlah RM174 bilion.

Najib berkata apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil alih Putrajaya, hutang negara mula meningkat dan sebahagian besar dana Petronas digunakan untuk perbelanjaan persekutuan.

“Hutang negara waktu saya berhenti RM686 bilion, disahkan oleh Bank Negara Malaysia. Hari ini hutang negara RM777.1 bilion, bertambah RM85 bilion dalam masa 10 bulan.

“Selepas itu dia (kerajaan) jarah pula duit Petronas RM82 bilion. Kalaulah saya ini perompak, perompak mana yang tinggalkan tunai RM174 bilion dalam duit Petronas?” katanya semasa ceramah di Bandar Sri Sendayan malam tadi.

Najib kini berdepan 42 pertuduhan jenayah termasuk pengubahan wang haram, penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah yang melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perbicaraannya terhadap tujuh pertuduhan berkaitan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB, bermula di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada Rabu.

Pada November tahun lepas, Petronas mengumumkan ia akan membayar tambahan sebanyak RM30 bilion dividen khas dalam Bajet 2019 untuk membantu kerajaan menyelesaikan pembayaran balik cukai dan cukai pendapatan barangan dan perkhidmatan sebanyak RM37 bilion.

Petronas dalam satu kenyataan berkata pembayaran dividen khas tidak akan menjejaskan operasinya.

Petronas mengumumkan peningkatan hasil sebanyak 12% kepada RM251.0 bilion daripada RM223.6 bilion yang dicatatkan pada 2017, susulan kenaikan harga purata yang lebih tinggi untuk semua produk utama.

Najib mendakwa semasa berkuasa, beliau hanya mengambil sebahagian kecil dividen daripada Petronas supaya syarikat itu dapat menggunakan dana mencari sumber pendapatan baru. – 5 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen