Saya tahan sebak bentang laporan siasatan aktivis hilang, kata Mah


Lionel Morais Noel Achariam

Suhakam selesai menyiasat, tetapi Susanna Liew dan Norhayati Ariffin, isteri dua aktivis yang hilang masih belum bertemu jawapan dimanakah suami mereka sekarang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 April, 2019.

KEKESALAN paling nyata panel Suhakam selepas setahun menyiasat kehilangan aktivis Pastor Raymond Koh dan Amri Che Mat adalah tidak mampu memberikan jawapan jelas di mana mereka berada sekarang.

Rabu lalu, ketika mendedahkan laporan siasatan, Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai meminta maaf kepada kedua-dua keluarga. Tetapi, sebelum sempat menjelaskan butiran lanjut keputusan Suhakam, isteri kedua-dua aktivis itu menangis.

“Permohonan maaf saya adalah luahan kekesalan.

“Saya pun hampir sebak. Bukanlah kerana kami gagal menjalankan tugas, tetapi melihat mereka dalam keadaan sepilu itu sangat menyebakkan,” kata Mah kepada The Malaysian Insight.

“Mereka datang berjumpa kami dengan harapan yang tinggi. Tetapi akhirnya, kami tidak dapat kesan di manakah kedua aktivis itu berada.”

Panel Suhakam sebulat suara merumuskan bahawa pasukan Cawangan Khas menculik Koh dan Amri dalam operasi ala-komando.

Panel siasatan Suhakam dianggotai Mah Weng Kwai, Dr Nik Salida Suhaila dan Dr Aishah Bidin merasakan polis tidak jujur dalam memberi keterangan kepada panel. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 April, 2019.

Isteri Koh, Susanna Liew dan isteri Amri, Norhayati Ariffin, sejak lebih dua tahun lepas berusaha mendapatkan penjelasan pihak berkuasa mengenai kehilangan suami mereka yang diculik.

Harapan bertambah tipis disebabkan kegagalan polis bertindak dan bekerjasama, mereka memutuskan mendapatkan kerjasama pergerakan masyarakat sivil yang mengadakan majlis memperingati kehilangan aktivis tersebut setiap dua minggu untuk mendesak tindakan pihak berkuasa.

Majlis itu diadakan di beberapa negeri sehinggalah Suhakam memutuskan untuk bertindak dan menubuhkan panel siasatan.

Amri yang mengasaskan Perlis Hope, diculik pada 24 November, 2016. Ketika siasatan, didedahkan bahawa Amri dipantau polis kerana terlibat dengan kegiatan Syiah.

Koh pula diculik pada 13 Februari, 2017. Laporan polis dibuat terhadap Koh beberapa bulan kemudian atas dakwaan menyebarkan agama Kristisan kepada anak-anak muda. – 8 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen