RCI atau pasukan petugas perlu panggil saksi penting, kata Suhakam


Lionel Morais Noel Achariam

Pesuruhjaya Suhakam, Mah Weng Kwai berkata pihaknya akan mengemukakan segala keterangan yang dikumpulkan sepanjang tahun lalu kepada pihak berkuasa untuk siasatan seterusnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 April, 2019.

DUA laporan yang mengandungi semua bukti langsung dan bukti mengikut keadaan dikumpulkan dalam siasatan kehilangan dua aktivis akan dikemukakan kepada kerajaan untuk tindakan susulan, kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Pesuruhjaya Mah Weng Kwai memberitahu The Malaysian Insight, laporan siasatan mereka mendedahkan polis terlibat dalam kehilangan Pastor Raymond Koh dan pengasas Perlis Hope, Amri Che Mat.

“Kami sudah menjalankan tugas kami. Semuanya sudah ada, terpulang kepada mereka sekarang untuk mencari bukti.

“Apa yang kami berikan kepada mereka adalah keterangan mengikut keadaan. Kini, terpulang kepada pasukan petugas atau RCI membuktikannya,” katanya.

Mah berkata pasukan petugas perlu ditubuhkan untuk menyiasat kehilangan Pastor Raymond Koh dan aktivis dari Perlis, Amri Che Mat.

Suhakam akan menyerahkan laporan mereka kepada Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Dalam Negeri, peguam negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Liew Vui Keong dan polis.

Mah berkata jika RCI atau pasukan petugas khas bersidang, mereka perlulah menghubungi beberapa saksi untuk membantu dalam kes itu.

“Dalam laporan kami, kami telah mengenai pasti Cawangan Khas dari Bukit Aman, Kuala Lumpur.

“Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun adalah pengarah Cawangan Khas ketika itu, ” katanya.

Mengulas kenyatan bekas ketua polis negara Khalid Abu Bakar yang mempertahankan keterangannya semasa siasatan, Mah menegaskan bahawa keterangan mengenai pengumpulan barang kes di Kampung Selarong di Pengkalan Hulu, Perak, “berbelit-belit”.

Pada Jun 2017, Khalid dilaporkan berkata polis menemui bukti yang menunjukkan Koh diculik susulan kejadian tembak menembak dengan suspek penyeludupan dadah senjata di Kedah.
 

Isteri Amri Che Mat, Norhayati Ariffin (kanan) bersama isteri Raymond Koh, Susanna Liew semasa pendedahan laporan Suhaman mengenai kehilangan suami mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 April, 2019

Mah menambah antara saksi yang perlu dipanggil adalah:

* Mufti Perlis Dr Asri Zainal Abidin yang mengatakan Perlis Hope (pertubuhan amal diasaskan Amri) terlibat dalam amalan Syiah, tetapi pegawai Cawangan Khas Perlis ASP Razman Ramli memberitahu siasatan tiada bukti menunjukkan kumpulan menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

* KPN Mohamad Fuzi Harun yang merupakan pengarah Cawangan Khas ketika kedua-dua aktivis itu diculik.

* Pegawai daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang menyerbu Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), tempat Koh menganjurkan makan malam dengan tetamu Islam, pada 2011.

* Bekas penolong pengarah utama Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial (E2) Awaluddin Jadid yang tidak dapat menjelaskan kepada siasatan Suhakam mengenai lawatannya ke pejabat Mufti Perlis. Beliau didakwa memberikan taklimat dan menunjukkan slaid rumah Amri.

* Bekas KPN Khalid yang memberi keterangan awal yang polis menemui gambar rumah Koh di rumah seorang suspek yang dibunuh semasa kejadian berbalas tembakan di Kedah pada 17 Jun.

Suhakam menubuhkan siasatan tahun lalu untuk menentukan sama ada Koh, Amri dan dua yang lain - Pastor Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth - adalah mangsa kehilangan paksa. – 8 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen