Polis cuba henti siasatan penculikan Koh, kata Suhakam


Lionel Morais Noel Achariam

Polis cuba melambatkan siasatan ke atas kehilangan Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh, kata Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 April, 2019.

POLIS cuba menghentikan siasatan Suhakam terhadap kes kehilangan Pastor Raymond Koh, kata Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Mah Weng Kwai.

Mereka tidak dapat mengemukakan saksi, enggan memberikan barang kes yang bukan sulit dan beberapa pegawai polis yang memberikan keterangan tidak memberikan maklumat penuh, kata Mah.

Mah menjelaskan, polis lengah memulakan siasatan, terutamanya dalam kes pengasas Perlis Hope,  Amri Che Mat.

“Hanya beberapa bulan kemudian mereka mula menyoal siasat saksi.

“Dalam kes culik, masa itu mustahak,” kata bekas hakim itu kepada The Malaysian Insight.

Suhakam memutuskan kehilangan Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh adalah kes kehilangan paksa dan wujud penglibatan polis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 April, 2019.

Beliau lalu menyebut tentang sebuah kereta jenis Toyota Vios (nombor pendaftaran PFC 1623) warna emas yang dilihat dekat rumah Amri.

“Saksi memberi siasatan bahawa kereta itu diparkir di tempat yang sama tiga hari berturut-turut. Enjin kereta tidak dihidupkan dan orang di dalamnya tidak turun.

“Malah saksi memberikan maklumat nombor pendaftaran kereta tetapi polis beritahu kami pemiliknya tidak dapat dikesan,” katanya.

Namun penyiasat Suhakam dalam siasatan mereka mendapati pemilik kereta itu adalah kakitangan awam yang bertugas di Cawangan Khas di Pusat Latihan Polis (Pulapol)  di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Apabila panel menegaskan bahawa beliau dipanggil untuk memberi keterangan, polis memberitahu pemilik kereta itu tidak dapat dikesan kerana beliau berhenti kerja beberapa bulan sebelumnya.

“Ini sangat pelik kerana pemilik kereta itu berkhidmat dengan Cawangan Khas selama 18 tahun,” kata Mah.

“Macam mana boleh hilang macam tu saja? Cawangan Khas kita tiada tandingan tetapi mereka tidak boleh kesan dia?”

Isteri Amri Che Mat, Norhayati Ariffin menangis selepas Suhakam memutuskan kehilangan suaminya sejak dua tahun lepas adalah kes kehilangan paksa dan wujud penglibatan polis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 April, 2019.

Dalam laporan siasatan Suhakam yang dikeluarkan Rabu lalu, suruhanjaya itu menyebut sebelum siasatan diumumkan, seorang pemandu Uber bernama Lam Cheng Nam didakwa memeras RM30,000 dari anak lelaki Koh, Jonathan, sebagai balasan pembebasan pastor itu.

Semasa siasatan, ketua polis negara pada masa itu Khalid Abu Bakar dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat ketika memberi keterangan menolak kemungkinan Lam sebagai salah seorang penculik Koh.

Beberapa bulan selepas itu, Suhakam diberitahu oleh Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun dalam sepucuk surat bahawa Lam didakwa menculik Koh, dan kerana kes tersebut sudah dibawa ke mahkamah, siasatan awam berkenaan tidak boleh diteruskan.

Keterangan dengar cakap diterima

Dalam laporan yang dikeluarkan pada Rabu, Suhakam merumuskan bahawa Koh dan Amri adalah mangsa hilang paksa dan mereka diculik oleh polis Cawangan Khas. Ini  berdasarkan keterangan ikut keadaan (circumstantial evidence) dan selepas menimbang semua bukti yang ada, jelas Mah.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun berkata dapatan Suhakam itu berdasarkan keterangan dengar cakap.

“Beliau (Dr Mahathir) betul. Tetapi rumusan bukan berdasarkan kepada keterangan dengar cakap sahaja,” kata Mah.

“Terdapat bukti langsung dan bukti mengikut keadaan lain yang dirujuk oleh panel.”

Beliau menambah, siasatan Suhakam tidak sama seperti perbicaraan jenayah di mahkamah, yang perlu diputuskan mengatasi keraguan munasabah.

Siasatan Suhakam dibolehkan menerima keterangan dengar cakap mengikut Seksyen 14(1) (a) dan (d) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 199, katanya.

“Ini siasatan, bukan perbicaraan. Tiada siapa yang akan dipenjara atau didakwa,” tambah beliau.

Koh diculik pada 13 Februari 2017 di Petaling Jaya, Selangor sementara Amri hilang pada 24 November 2016 di Perlis.

Polis kita tiada tandingan, mana mungkin gagal kesan bekas anggota yang terlibat dalam penculikan dan didakwanya hilangkan diri, kata Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 April, 2019.

Tolak ansur agama

Satu laporan polis dibuat terhadap Koh beberapa bulan selepas kehilangannya. Laporan itu mendakwa beliau cuba menyebarkan Kristian kepada anak muda di utara Semenanjung Malaysia.

Menurut laporan, polis merakamkan keterangan dua remaja yang mendakwa mereka didekati oleh tiga lelaki, salah seorangnya dipercayai Koh.

Sementara itu, Amri pula dalam pemerhatian polis berhubung dakwaan ada kaitan dengan fahaman Syiah.

“Ada kemungkinan bahawa kedua-dua kes ini melibatkan soal agama,” kata Mah.

“Amri tidak akan menarik perhatian sesiapa kalau bukan sebab agama.

“Beliau pengasas Perlis Hope yang mereka dakwa sebuah pertubuhan Syiah.

“Sama juga dengan Pastor Koh. Ada beratus lagi pastor. Kenapa dia?”

Menurut Mah, dalam soal inilah rakyat Malaysia perlu lebih memahami dan bertolak ansur.

Katanya, kalau betul sekali pun dua orang hilang itu diculik kerana menyebarkan fahaman dan agama, ada undang-undang untuk menanganinya.

“Hanya sebab kita tidak setuju dengan seseorang tidak bermakna kita boleh ketuk orang itu begitu saja.

“Menculik mereka salah. Perkara yang salah tidak boleh dibetulkan dengan kesalahan lain,” tambah pesuruhjaya hak asasi manusia itu. – 8 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen