Adakah Amri dan Raymond Koh dibunuh?


TANGGAL 24 November 2016 jam 11.30 malam, keluarga dan sahabat handai Amri Che Mat dikejutkan dengan kehilangan beliau, setelah keretanya ditemui di Bukit Cabang, Padang Besar lebih kurang 20km dari rumahnya.

Isterinya membuat laporan polis tidak lama kemudian. Sahabat handai Amri berkumpul di rumah beliau kebingungan. Pelbagai teori dan andaian muncul ketika itu. Namun sebagai seorang rakan rapat Amri, saya sentiasa menasihati mereka agar kita tidak beremosi dengan teori dan andaian sehingga dapat bukti dan fakta kukuh punca kehilangan beliau.

Secara tidak langsung kami menubuhkan pasukan mencari Amri dan bekerjasama penuh dengan pasukan Polis Di Raja Malaysia moga Amri selamat dan ditemui semula. Segala petunjuk yang kami perolehi terus kami salurkan kepada pegawai polis Insp Kor dan pegawai SB Perlis ASP Razman.

Salah satu petunjuk utama adalah saksi melihat kenderaan pikap pacuan 4 roda, motor jenis Yamaha LC dan paling tepat adalah Toyota Vios nombor plat PFC 1623. Menyedihkan bila pegawai polis dilihat cuba menyembunyikan sesuatu yang mereka tahu.

Hari demi hari berlalu. Semua petunjuk yang kami salurkan dipandang sepi. Tiada langsung perkembangan positif. Keluarga Amri semakin keluh kesah. Namun semua ini tidak melemahkan kami untuk terus berusaha mencari Amri.

Sehinggalah beberapa bulan selepas itu, heboh di media sosial rakaman CCTV penculikan Pastor Raymond Koh. Sekali gus “flash back” di minda kami apa yang diceritakan oleh Saiful Adfzan, salah seorang saksi yang melihat kejadian Amri diculik pada malam tersebut.

Saya menunjukkan rakaman YouTube CCTV tersebut pada beliau dan jawapan beliau dengan penuh yakin “sebiji macam malam itu, bang!!!”.

Apatah lagi, dalam rakaman CCTV tersebut ada kenderaan Toyota Vios yang kami yakin itulah Toyota Vios PFC 1623.

Teknologi media semakin berkembang. Saya buat carian dan akhirnya saya menemui wajah pemilik, alamat, data keluarga Saiful Bahari. Di sinilah saya yakin pihak polis terlibat.

Saiful Bahari adalah anggota polis di Kuala Lumpur. Kenapa beliau ada di Kangar, Perlis berdekatan rumah Amri pada hari kejadian?

Akhirnya kami menemui petunjuk sebenar. Kenapa polis lakukan semua ini? Tidak serikkah polis dimalukan dengan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya?

Keraguan pada PDRM semakin jelas bila pegawai polis Insp Kor memaklumkan kes ini dibawa ke Bukit Aman. Namun beliau tidak dapat memberikan nama pegawai Bukit Aman mana yang mengambil alih kes ini.

Saya bersama teman dan keluarga Amri bergegas ke Bukit Aman untuk mencari siapa dan jabatan mana yang bertanggungjawab. Dari Bukit Aman kami disuruh ke Pulapol, Jalan Semarak dan selepas itu ke bangunan rahsia dan akhirnya bertemu ASP Pedro.

Ringkasnya semuanya seperti melepas diri. Akhirnya pada sebelah petang saya membawa keluarga Amri ke Parlimen bertemu Ketua Pembangkang ketika itu, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan mengadakan sidang media.

Pada 3 April 2017, saya melaporkan kes ini ke Suhakam setelah hilang kepercayaan kepada PDRM. Inkuiri Suhakam berjalan selama dua tahun. Saya tidak melepaskan diri dan turut serta dalam sebahagian besar proses inkuiri tersebut.

Satu persatu saksi dipanggil. Ada yang hadir dan ada yang seperti dihalang untuk hadir. Semua dapat menilai dan tahu kenapa saksi utama yang melihat kejadian tidak hadir. Namun mereka lupa pihak Suhakam telah turun ke Perlis dan merakamkan percakapan saksi Saiful Adfzan.

Ringkas cerita, inkuri kembali panas hangat membara apabila tidak disangka-sangka seorang pegawai SB Sarjan Shamzaini membuat pengakuan ikhlas pada isteri Amri bahawa PDRM Bukit Aman dan beberapa pegawai polis Perlis terlibat dalam menghilangkan Amri Che Mat.

Walaupun beliau menafikan selepas itu, atas kemungkinan besar ditekan pihak atasan, namun segala fakta yang disampaikan tidak mungkin direka isteri Amri.

Pada 3 April 2019, tepat dua tahun saya melaporkan kes Amri ke Suhakam, segala kekusutan terjawab bila mana segala bukti memperlihatkan pihak polis Bukit Aman dan SB terlibat dalam siri penculikan Amri dan Koh.

Persoalan sekarang, apakah reaksi kerajaan Pakatan Harapan terhadap kejahatan polis semasa pemerintahan Barisan Nasional?

Temubual wartawan dengan bekas menteri dalam negeri Ahmad Zahid Hamidi kelmarin memperlihatkan beliau tidak menafikan polis terlibat dalam kes ini.

Beliau hanya menafikan arahan penculikan ini datang dari beliau. Ayat beliau “menarik rambut dalam tepung”, menggambarkan memang benar keputusan Suhakam – tetapi perlu diselesaikan secara diplomasi atau mungkin beliau mahu cuci tangan dan lari dari bertanggungjawab.

Kenyataan Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun yang cuba mengelak dari mengulas dengan mengatakan “nak baca dulu laporan Suhakam” membawa seribu kekusutan menjelang hari-hari akhir beliau sebelum bersara. Bekas ketua polis negara Khalid Abu Bakar pula seperti menyerahkan semua ini kepada Fuzi.

Segala persoalan kini menuju: di mana Amri dan Koh?

Kini sudah pasti, polis terlibat. Ke mana polis membawa mereka ini? Tidak mungkin ke penjara atau lokap rasmi. Apakah PDRM memiliki pusat tahanan gelap rahsia seperti negara regim komunis? Siapa yang keluarkan arahan ini sebenarnya?

Amat gerun bila kita pernah membaca artikel pusat tahanan rahsia yang dimiliki negara-negara regim.

Masih hidupkah mereka? Kalau sudah dibunuh di mana mayat mereka? Dibakar? Diberi makan binatang buas? Ditanam di lokasi rahsia? Semua ini terlintas dalam minda kami dan sudah tentu dalam kalangan keluarga Amri dan Koh.

Semua ini jangan dihentikan setakat keputusan Suhakam. Harapan kami, seluruh menteri Kabinet dan ahli Parlimen PH sila respon akan isu ini. Bebaskan negara ini dari kekejaman regim BN yang masih bertapak walaupun PH sedang memerintah. – 5 April, 2019.

* Mohammad Faisol Abd Rahman adalah jurucakap Perlis Hope.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen