2 mayat anak kapal korek berlanggar di perairan Singapura ditemui


Keadaan kapal korek JBB DE Rong 19 yang hampir tenggelam selepas berlanggar dengan kapal tangki, Kartika Segara di perairan Singapura. – Gambar EPA, 13 September, 2017.

PENYELAM tengah hari tadi menemukan dua mayat daripada lima kru kapal korek JBB DE RONG 19 berdaftar di Dominica yang hilang selepas kapal itu berlanggar dengan kapal tangki, Kartika Segara berdaftar di Indonesia, awal hari ini.

“Lembaga Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) mengucapkan takziah kepada keluarga dua mangsa yang meninggal dunia dan berharap mereka yang cedera akan segera sembuh. Kami akan meneruskan usaha mencari dan menyelamat untuk mengesan tiga lagi anak kapal yang masih hilang,” kata Ketua  Eksekutifnya Andrew Tan dalam kenyataan terbaru di Singapura.

Laporan sebelum ini menyebut seorang rakyat Malaysia adalah antara lima anak kapal sebuah kapal korek yang terbalik dan tenggelam sebahagiannya.

Bagaimanapun, tiada pengesahan sama ada satu daripada mayat yang ditemukan itu adalah rakyat  Malaysia.

Sebanyak 12 anak kapal berada di atas JBB DE RONG 19 ketika kejadian itu berlaku di perairan Singapura pada kira-kira 12.40 tengah malam.

MPA, yang terus menerajui operasi mencari dan menyelamat (SAR), dengan sokongan agensi berkenaan di Singapura, berkata tujuh anak kapal dihantar ke Hospital Besar Singapura dan daripada jumlah itu, lima dibenarkan keluar kemudiannya.

Katanya, antara aset daripada agensi Singapura yang dikerah ialah dua helikopter Super Puma, dua  Chinook  dan sebuah pesawat Fokker 50 Tentera Udara Republik Singapura, 15 kapal MPA, Tentera Laut Republik Singapura, Polis Pengawal Pantai Singapura dan Pasukan  Pertahanan Awam  Singapura  serta  tujuh kapal PSA Marine Pte Ltd dan POSH Semco Pte Ltd.

Kira-kira 200 anggota terlibat dengan operasi SAR.

MPA berkata pihaknya telah memaklumkan kepada Pusat Penyelarasan Menyelamat Indonesia tentang kejadian itu, yang mengerahkan lima kapal membantu operasi SAR di wilayah perairan Indonesia.

Tidak terdapat laporan tentang tumpahan minyak atau gangguan terhadap lalu lintas perkapalan di Selat Singapura, katanya. – Bernama, 13 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen