Sedia tubuh RCI kehilangan Koh, Amri, kata Muhyiddin


Mohd Farhan Darwis Lee Chi Leong

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan bersedia membentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk melihat peranan polis dalam kes kehilangan dua aktivis lebih tiga tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 April, 2019.

PUTRAJAYA bersedia menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kait dakwaan Cawangan Khas Polis Bukit Aman bertanggungjawab atas kehilangan aktivis sosial, Amri Che Mat dan pastor Raymond Koh Keng Joo, kata Muhyiddin Yassin.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, kementeriannya bagaimanapun perlu meneliti laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) terlebih dahulu berkaitan inkuiri yang dijalankan sebelum memutuskan keperluan penubuhan RCI terbabit. 

“Kita menunggu itu (laporan inkuiri) dulu dan akan mengkaji jika ada keperluan (tubuh RCI). Kita boleh membuka semula kes sekiranya diizinkan pihak pendakwa raya dan selepas itu, kita akan melihat balik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan akan menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan Suhakam pihak cawangan khas polis Bukit Aman bertanggungjawab terhadap kehilangan Amri dan Raymond.

Inkuiri awam Suhakam memutuskan polis bertanggungjawab terhadap kehilangan mereka.

Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai berkata, berdasarkan perbincangan panjang terhadap kedua-dua kes, panel terbabit mendedahkan individu atau kumpulan yang beroperasi dengan sokongan ejen negara, terbabit dalam penculikan itu.

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, Suhakam perlu mengemukakan bukti atas dakwaan itu.

Amri, 44, merupakan pengasas bersama persatuan kebajikan Perlis Hope yang didakwa dikaitkan dengan ajaran Syiah, dilaporkan hilang di Padang Besar, Perlis, sejak 24 November 2016.

Manakala Raymond pula dilaporkan diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10 ketika memandu kurang 100 meter dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Februari 2017. – 4 April, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen