Yugoslavia: Itukah masa depan Malaysia?


DALAM memerhati perkembangan kempen pilihan raya kecil di Rantau, eloklah juga kita memerhatikan Malaysia sebagai sebuah rantau yang beragam yang sedang berhadapan dengan perubahan yang sama ada boleh membina bangsa atau memecahkannya.

Tiga Jumaat yang lepas berlangsung sebuah forum di Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

Forum tersebut membincangkan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengubah status Sabah dan Sarawak dalam kerangka Persekutuan Malaysia.

Program tersebut membariskan tokoh-tokoh besar akademik, politik dan undang-undang seperti Prof Dr Mohammad Agus Yusoff, bekas speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia dan Prof Dr Faridah Jalil.

Secara dasarnya, Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii Lee Wuen mewakili golongan yang mencadangkan agar Sabah dan Sarawak dinaikkan statusnya setaraf dengan Persekutuan Tanah Melayu menerusi pindaan terhadap Perkara 1(2) Perlembagaan Malaysia. Ini selari dengan semangat demokrasi, hak peribumi, dan federalisme.

Panel yang lain tidak bersetuju. Pandikar menyatakan Sabah (Borneo Utara) dan Sarawak bukan entiti berdaulat semasa Perjanjian Malaysia 1963 termeterai. Maka, mana mungkin setaraf dengan Persekutuan Tanah Melayu.

Prof Agus pula berkata pindaan itu cukup bahaya kerana mampu memecahkan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa. Beliau menzahirkan kebimbangan yang cadangan ini ialah campur tangan halus dari luar.

Ini kerana tuntutannya yang selari dengan agenda sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang bersifat pemisah iaitu Sabah dan Sarawak Keluar Malaysia (SSKM). SSKM bukan sekadar sebuah aktivisme atas talian kerana ia berdaftar di United Kingdom (UK), Australia dan New Zealand.

Perlu diingatkan Timor Leste (atau Timor Timur) mendapat kemerdekaan dari Indonesia akibat campur tangan halus dari luar menerusi aktivisme media sosial yang juga berpangkalan di luar negara.

Manakala Prof Faridah berpendapat cadangan tersebut memerlukan persetujuan daripada 11 negeri lain. Secara ringkasnya, ketiga-tiga mereka skeptis dengan cadangan tersebut. Mereka melihat pindaan tersebut bukan sahaja boleh mencetuskan polemik politik, malah berpotensi mencetuskan krisis perlembagaan.

Namun begitu satu soalan dari seorang peserta cukup menarik perhatian. Beliau menanyakan apakah bentuk negara Malaysia sekiranya pindaan tersebut berjaya dilakukan. Adakah Malaysia kekal sebagai negara federal? Berubah menjadi negara konfederal? Ataupun unitari?

Walaupun inilah bahagian yang paling bersifat teknikal dalam ilmu politik, namun sama-samalah kita berusaha untuk memahaminya.

Pertama, pindaan tersebut tidak akan membawa sebarang perubahan sekiranya kerajaan, pentadbiran awam, dokumen awam, media dan buku teks tatanegara masih lagi menyebut Persekutuan Malaysia ialah negara yang terdiri daripada 13 negeri.

Ini kerana tanpa pindaan pun perubahan boleh dilakukan sekiranya kerajaan berani menyatakan Persekutuan Malaysia ialah sebuah negara federal yang terdiri daripada tiga negara anggota (constituent countries) iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Tanah Melayu ialah negara federal yang mempunyai 11 negeri, manakala Sabah dan Sarawak mengamalkan sistem unitari.

Untuk membezakan taraf antara “negara” dan “negeri” maka badan legislatif Sabah dan Sarawak boleh disebut sebagai parlimen dan istilah Dewan Undangan Negeri (DUN) kekal untuk negeri-negeri Tanah Melayu.

Manakala, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Persekutuan Tanah Melayu ialah ketua negara untuk Sabah, Sarawak dan pastinya Persekutuan Malaysia. Sebagai sebuah negara terbesar dari sudut populasi dan paling awal merdeka, sudah tentu Tanah Melayu menikmati hegemoni berbanding dengan Sabah dan Sarawak.

Justifikasinya ialah dengan mengambil kerangka The United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland (UK) yang dianggotai oleh empat empat “negara anggota” iaitu England, Scotland, Wales dan Ireland Utara yang kesemuanya ialah entiti unitari.

Malah, UK itu sendiri ialah negara unitari. Ini kerana devolusi hanyalah untuk Scotland, Wales dan Ireland Utara. England yang hegemonik tidak mempunyai parlimennya sendiri.

Ini serupa dengan Persekutuan Tanah Melayu yang juga hegemonik tetapi tidak mempunyai parlimennya sendiri. Sekiranya wujud badan legislatif khusus untuknya maka kebanyakan pengundi di Semenanjung perlu mengundi sebanyak 3 kali dalam pilihan raya umum (PRU), iaitu untuk DUN, parlimen Persekutuan Tanah Melayu dan parlimen Persekutuan Malaysia.

Pun begitu bentuk Malaysia menjadi sangat serupa dengan UK seandainya Malayan Union yang tertubuh dan bukannya Persekutuan Tanah Melayu. Ini kerana Malayan Union ialah entiti unitari yang tidak menikmati devolusi seperti mana England.

Maka dalam sebarang PRU, pengundi di Semenanjung hanya perlu mengundi sekali iaitu untuk parlimen Malaysia sahaja. Pengundi di Sabah dan Sarawak perlu mengundi sebanyak dua kali iaitu untuk Parlimen Malaysia dan Parlimen negara masing-masing.

Oleh itu, walaupun Malaysia ialah negara federal dan UK negara unitari tetapi bentuk negara Malaysia selepas perubahan (sama ada dengan pindaan atau tanpa pindaan perlembagaan) hampir menyerupai UK.

Malah, tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa Malaysia ialah negara unitari dengan devolusi bagi Sabah dan Sarawak. Manakala yang federal itu hanyalah Persekutuan Tanah Melayu.

Jika inilah konsepnya, maka Persekutuan Malaysia ialah sebuah negara unitari berdevolusi yang mengandungi tiga buah negara anggota iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, dan Sarawak. Maka ini membolehkan Sabah dan Sarawak bergelar negara dan warganya berstatus bangsa. Paling menarik bangsa Melayu kembali “ber”Tanah Melayu setelah hampir enam dekad hanya “ber”Keretapi Tanah Melayu.

Namun, perkara ini perlu ditangani dengan penuh hati-hati kerana format Malaysia yang lebih baharu kelak boleh juga menuju seperti negara konfederal yang membuka ruang yang cukup besar kepada munculnya ultra-nasionalisme yang memecah.

Inilah yang dialami oleh Kesatuan Republik Sosialis Soviet (Kesatuan Soviet) dan Persekutuan Yugoslavia yang sudah bersemadi dalam lipatan sejarah. Kesatuan Soviet berpecah kepada 15 buah republik merdeka dan Persekutuan Yugoslavia yang pada asalnya adalah gabungan enam republik terpisah kepada tujuh republik merdeka.

Malah, entiti politik hegemonik menggenggam kesatuan boleh menjadi lemah ekoran cabaran ultra-nasionalisme yang primordial. Ini seperti Persekutuan Russia yang hegemonik sewaktu era Kesatuan Soviet menghadapi cabaran tuntutan pemisahan terutamanya dari rantau Caucasus dan Serbia yang hegemonik dalam Yugoslavia bukan sahaja tidak mampu menghindarkan perpecahan Yugoslavia, bahkan kehilangan wilayahnya sendiri, iaitu Kosovo.

Jangan nanti Malaysia menjadi Yugoslavia di timur jauh. Kerana itulah para panel yang cukup berpengalaman dan pakar dalam politik, undang-undang dan perlembagaan tidak bersetuju dengan cadangan pindaan.

Maka, sewajarnya ahli politik pada era Malaysia baharu ini sama ada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang sama-sama menggembleng seluruh tenaga untuk pembinaan bangsa dan bukan memecahkannya kononnya atas nama demokrasi, hak pribumi dan federalisme. – 4 April, 2019.

* Badrul A. Bakar ialah pensyarah Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi UiTM.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen