Putrajaya timbang jual aset, tanah kurangkan hutang negara, kata PM


Mohd Farhan Darwis Lee Chi Leong

Bagaimanapun, aset dan tanah milik kerajaan itu hanya akan dijual kepada rakyat Malaysia dan bukan warga asing, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 4 April, 2019.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan Putrajaya akan menjual lebih banyak aset dan tanah milik kerajaan untuk mengurangkan jumlah hutang yang ditanggung negara.

Dr Mahathir bagaimanapun berkata, aset dan tanah milik kerajaan itu hanya akan dijual kepada rakyat Malaysia dan bukan warga asing.

“Ya, kita masih ada aset, dan kalau perlu kita akan jual tanah kerajaan, tapi tanah kita akan jual kepada rakyat Malaysia, bukan warga asing,” kata ahli Parlimen Langkawi itu pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Dr Mahathir berkata, kerajaan akan melaksanakan tindakan yang perlu dan dirasakan betul sama ada untuk menjual tanah atau aset berkenaan, walaupun dibantah pembangkang.

“Mereka boleh bantah tapi mereka tiada kuasa, tugas kerajaan adalah untuk melakukan apa yang kerajaan rasa betul. Waktu mereka (perintah) dulu mereka tak bantah jual tanah kepada orang asing, sekarang baru mereka ingat,” katanya.

Dr Mahathir ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini berkata, peratusan hutang negara berkurang berikutan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan penyelesaian beberapa hutang.

“Apabila KDNK meningkat, peratusan hutang kurang. Kedua, apabila kita selesai beberapa hutang, maka hutang sudah kurang. Ia tidak lagi menjejaskan usaha kita mentadbir dan membangunkan negara,” katanya.

Beliau turut menjelaskan hutang negara kini di tahap yang boleh diurus, dan turun disumbangkan oleh beberapa faktor, termasuk kerajaan berjaya mendapatkan semula banyak wang yang hilang dan disimpan oleh Singapura.

“Wang itu berjaya membantu mengurangkan hutang. Kerajaan juga bekerja keras mengurangkan nilai kontrak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Projek itu perlu diteruskan kerana jika tidak, kerajaan perlu membayar pampasan yang besar.

“Kami juga melihat kemungkinan lebih banyak hutang boleh dikurangkan menerusi pengenalpastian aset kerajaan yang boleh dijual. Pada masa ini proses sedang berjalan, ia tidak statik. Angkanya dikurangkan, sedang usahakannya sepanjang masa. Saya tidak dapat memberikan angka sebenar, namun saya yakin angkanya sudah banyak dikurangkan,” katanya. – 4 April, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen