Dua dekad mencari keadilan


Jahabar Sadiq

Hari ini, Keadilan menyambut ulang tahun yang ke-20. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 April, 2019.

HARI ini, Keadilan menyambut ulang tahun yang ke-20.

Parti politik yang dikenali sebagai Parti Keadilan Nasional ditubuhkan pada hari ini pada 1999. Ia bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) empat tahun kemudian dan dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menariknya sebagai nota kaki sejarah, PRM tidak dibubarkan dengan penggabungan itu sebaliknya diambil alih dan diteruskan oleh ahli-ahli lain.

Tetapi Keadilan – sebagai sebuah idea, konsep dan parti – sudah 20 tahun usianya. Ia juga sekarang sebahagian daripada kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan, 10 tahun selepas berkuasa menang pilihan raya di lima negeri bersama Pakatan Rakyat pada masa itu pada 2008.

Ada banyak yang dilalui oleh parti itu, sejak penubuhan Keadilan pada 4 April 1999. Aktivis politik yang mendukung bekas timbalan perdana menteri Anwar Ibrahim pada masa itu mengambil alih Ikatan Masyarakat Islam Malaysia dan mengangkat isteri beliau Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden parti untuk memperjuangkan pembebasannya.

Hanya 10 hari selepas Keadilan ditubuhkan, Anwar dihukum penjara enam tahun atas sabitan tuduhan rasuah. Hukuman penjara sembilan tahun atas sabitan tuduhan meliwat dijatuhkan pada 8 Ogos 2000.

Semua itu kini jadi sejarah. Presiden Keadilan yang pertama Dr Wan Azizah sekarang timbalan perdana menteri. Presidennya sekarang, Anwar, akan jadi perdana menteri melalui perjanjian peralihan kuasa selepas Dr Mahathir Mohamad bersara.

Dalam tempoh 20 tahun, kita melalui kitaran yang terganggu buat pertama kalinya pada 1998 yang membawa kepada penubuhan Keadilan, yang kemudiannya jadi sejarah.

Apakah sejarah akan berbeza? Apa akan jadi sekiranya tiada pergolakan politik dan pemecatan pada 1998? Apakah Anwar akan jadi perdana menteri semasa beliau masih lagi dalam Umno? Adakah itu bermakna Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak tidak akan jadi perdana menteri? Dan, tiada 1MDB?

Lubang cecacing sejarah itu tidak kita ketahui dan di luar jangkauan pengetahuan kita.

Kita hanya tahu apa yang berlaku hari ini. Bagi mereka yang terlibat sejak awal, ia adalah satu perjuangan yang panjang dan berliku. Ada yang meninggalkan parti, ada yang meninggalkan mereka yang menerajui parti dan ada yang meninggalkan jawatan selepas berkuasa di peringkat Persekutuan.

Sangat menarik apabila mengenangkan segala pilihan dan kemungkinan yang ada sepanjang sejarah penubuhan parti ini. Sebuah parti yang didirikan untuk menuntut keadilan, awalnya untuk seorang dan kemudian untuk semua rakyat Malaysia, kini menjadi sebuah parti yang ahli-ahlinya mendesak keadilan untuk diri mereka sendiri. Mereka melepaskan geram dan bercakaran sesama sendiri secara terbuka.

Iya, inilah politik. Inilah pencapaian mebebaskan Anwar dan kembali meletakkan beliau di landasan untuk jadi perdana menteri. Inilah sebuah parti yang mencari peranan untuk memenuhi kehendak semua dalam sebuah negara yang berbilang kemahuan, cita-cita dan pembangunan yang tidak sekata.

Apa yang pasti, inilah sebuah parti yang perlu diperhatikan pada tahun-tahun mendatang. Ia mungkin bermula dengan mata lebam Anwar tetapi tentunya tidak harus begitu juga untuk Malaysia. – 4 April, 2019.


* Jahabar Sadiq mengendali The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen