China diramal dibadai taufan Talim, 200,000 penduduk dipindahkan


Taufan Talim diramalkan sama ada bergerak ke arah barat laut dan membadai Zhejiang mulai Khamis malam hingga Jumaat pagi atau bergerak ke utara perairan berhampiran wilayah itu pada Jumaat dan kemudian ke arah timur laut. – Gambar EPA, 13 September, 2017.

LEBIH 200,000 orang di Wilayah Fujian dan Zhejiang dipindahkan pada Rabu ekoran taufan Talim dijangka bergerak pantas ke arah pantai tenggara China, lapor agensi berita China Xinhua.

Jabatan meteorologi Fujian meramalkan Talim yang merupakan taufan ke-18 tahun ini, bergerak dengan kelajuan antara 180 hingga 200 kilometer sejam, dalam tempoh dua hari akan datang.

Diramalkan Talim sama ada bergerak ke arah barat laut dan membadai Zhejiang mulai Khamis malam hingga Jumaat pagi atau bergerak ke utara perairan berhampiran wilayah itu pada Jumaat dan kemudian ke arah timur laut.

Lebih 120,000 penduduk dipindahkan ke tempat selamat, 20,000 kapal menangkap ikan berlindung di Fujian dan hampir 2,000 tempat aktiviti riadah serta tapak pembinaan ditutup.

Di Zhejiang, hampir 9,000 orang dipindahkan dan lebih 4,700 kapal nelayan berlabuh di pelabuhan.

Sementara itu, taufan ke-19 tahun ini iaitu Doksuri diramal melanda pantai Pulau Hainan pada Khamis malam atau Jumaat pagi, menurut amaran dikeluarkan biro cuaca Hainan pada Rabu. – Bernama, 13 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen