KERJASAMA Umno dan PAS tidak akan menyebabkan Malaysia ditadbir dengan pemerintahan ala Taliban di Afghanistan, kata Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.
Sebaliknya, beliau mendakwa Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun yang sebenarnya bersikap seperti Taliban apabila melarang minuman keras dijual di sebuah kelab golf di Seremban.
Khairy berkata larangan itu tidak seharusnya berlaku kerana ia hanya untuk ahli Kelab Golf Antarabangsa Seremban (SIGC) dan bukannya dijual secara terbuka.
“Timbalan Speaker Nga Kor Ming boleh kata kalau PAS dan Umno memerintah, negara ini akan jadi negara Taliban. Siapa menteri besar Taliban yang cuba menghentikan penjualan arak di satu kelab di Seremban?
“Itu baru Taliban, sebab… itu kebebasan kita bagi. Lagipun itu bukan minum di khalayak, untuk ahli kelab SIGC. Menteri besar Negeri Sembilan itu tidak mahu panggil Taliban?” soalnya ketika berceramah di Bandar Ekar dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau malam tadi.
Aminuddin yang didakwa mengarahkan larangan alkohol itu sebelum ini menegaskan arahan larangan tersebut dibuat atas kehendak jawatankuasa kelab sendiri.
Bagaimanapun pada 21 Mac lalu, Aminuddin menegaskan beliau akan melepaskan jawatan Presiden SIGC sekiranya Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) memutuskan untuk menjual semula arak di kelab tersebut.
EGM tersebut membatalkan larangan itu dan Aminuddin kemudiannya memutuskan untuk meletak jawatan.
Khairy berkata reaksi DAP terhadap kerjasama Umno dan PAS sehingga timbul gelaran Taliban dan tanggapan perang kepada bukan Melayu, seperti yang awalnya disebut Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, menyebabkan perpaduan rakyat semakin rapuh.
“Bukan saja orang Melayu tetapi bukan Melayu juga rasa. Hari ini sudah wujud keadaan di mana anda bebas untuk buat apa sahaja, tiada kawalan langsung untuk mengguriskan hati kaum, agama.
“Benda ini berlaku apabila rakyat tengok pemimpin boleh buat, mereka juga boleh buat. Teladan yang buruk oleh pemimpin bila seorang menteri kanan boleh cakap gabungan PAS-Umno adalah untuk mengisytiharkan perang terhadap bukan Islam.
“Kami isytiharkan perang terhadap Pakatan Harapan, bukannya terhadap bukan Islam,” kata Khairy. – 4 April, 2019.
Komen