Tiada cubaan lengahkan perbicaraan, kata peguam Najib


Mohd Farhan Darwis

Peguam Muhammad Shafee Abdullah ketika bercakap kepada pemberita di kompleks mahkamah Kuala Lumpur selepas perbicaraan hari pertama bekas perdana menteri Najib Razak tamat hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 3 April, 2019 

MUHAMMAD Shafee Abdullah menafikan pasukan peguam bela Najib Razak cuba melengah-lengahkan perbicaraan kes jenayah yang dihadapi bekas perdana menteri itu.

Shafee berkata, pasukannya hanya melakukan perkara lazim yang akan dilakukan mana-mana peguam sekiranya pertuduhan yang dikenakan terhadap anak guam mereka mempunyai kecacatan.

“Pertama sekali, tiada cubaan untuk cuba melengah-lengahkan perbicaraan, apa yang kami lakukan adalah tindakan yang dilakukan apabila kamu didakwa dengan pendakwaan yang cacat,” kata Shafee, kepada pemberita selepas tamat hari pertama perbicaraan hari ini.

“Jika kamu membuat sebarang bantahan terhadap pertuduhan, bantahan harus dibuat sebelum perbicaraan bermula, jadi hari ini adalah hari sebelum perbicaraan bermula,” tambahnya, sambil menegaskan pertuduhan terhadap Najib cacat.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram milik SRC Internatonal Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Shafee juga berkata pihaknya berpendapat ucapan pembukaan pasukan pendakwa raya oleh Peguam Negara Tommy Thomas lebih menjurus kepada ucapan politik.

“Jika kita teliti ia tidak mempunyai apa-apa selain pendakwaan, rumit dan tidak masuk akal seperti juga pertuduhan.

“Kami juga bangkitkan ucapan pembukaan tidak memberi pencerahan kepada mahkamah dan kami, malah tidak mematuhi prosedur di bawah Seksyen 179 Kanun Prosedur Jenayah, lebih kepada ucapan politik,” kata Shafee lagi.

Perbicaraan ke atas Najib dimulakan hari ini selepas Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan pasukan peguam bela untuk menangguhkan kes kerana mempertikaikan kesahihan pertuduhan terhadap bekas perdana menteri.

“Usul ini dikemukakan hari ini sementara pertuduhan sudah dibuat pada Ogos lepas. Tiada keperluan untuk mendengar usul itu sekarang. Perbicaraan boleh diteruskan sekarang,” kata hakim selepas lebih kurang 45 minit mendengar hujah pendakwaan dan pembelaan.

Mahkamah hari ini mendengar keterangan saksi pertama, Mohd Akmaluddin Abdullah, 35, dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Pertuduhan terhadap Najib kebetulan dibicarakan genap 10 tahun beliau mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Malaysia keenam pada 2009. – 3 April, 2019 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen