Jho Low bidas kerajaan berhubung jualan Equanimitty


Kapal Equanimity dijual kepada Genting Malaysia Bhd di bawah harga pasaran AS$130 juta yang diharapkan Putrajaya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 3 April, 2019

AHLI perniagaan yang dikehendaki, Low Taek Jho membidas Putrajaya berhubung jualan kapal layar Equanimity pada harga AS$126 juta (RM529 juta), dan menyifatkan ia sebagai “aksi PR” yang gagal. 

Dalam satu kenyataan yang dihantar melalui peguamnya, Low, yang didakwa membeli kapal berkenaan menggunakan wang yang didakwa dicuri dari 1Malaysia Development Berhad berkata, harga jualan itu menunjukkan “ketidakcekapan kerajaan Mahathir dan mengabaikan kedaulatan undang-undang”.

“Kerajaan Mahathir melakukan sebanyak dua kali dalam usaha untuk menjual kapal itu, lelongan gagal dan proses jualan ‘telus’ yang kerajaan komited pada awalnya mengalami banyak perubahan mendadak - sebahagian besarnya berpunca daripada ketidakcekapan kerajaan. 

“Kerajaan Mahathir menunjukkan ia sedia untuk menjatuhkan nilai Equanimity dalam serangannya terhadap musuh politik mereka,” katanya. 

Penjualan Equanimity kepada Genting Malaysia Bhd di bawah harga pasaran AS$130 juta yang diharapkan Putrajaya. Jualan itu diumumkan oleh Peguam Negara Tommy Thomas hari ini. 

Low, yang masih bebas selepas didakwa di Malaysia dan AS berhubung penyelewengan 1MDB, secara konsisten berkata Putrajaya bertindak secara salah dalam mengambil Equanimity dari Indonesia, yang mana kapal itu mula-mula disita bagi pihak Jabatan Kehakiman AS.

“Seperti yang telah kita nyatakan dari awal, ini adalah aksi PR yang gagal, yang dengan jelas mengabaikan ketetapan mahkamah di Indonesia dan juga prosiding undang-undang di AS.” – 3 April, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen