US$ 126 juta harga terbaik untuk Equanimity, kata Guan Eng


Lee Chi Leong

Harga asal kapal layar Equanimity dikatakan bernilai AS$ 250 juta dan dibayar oleh ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho yang dituduh di Malaysia dan Amerika Syarikat atas tuduhan mencuri dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB). – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 April, 2019.

SEJUMLAH US$ 126 juta merupakan harga terbaik untuk kapal Equanimity, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

“Kami menyokongnya kerana sejak lapan bulan terakhir, kerajaan sudah membayar lebih dari RM14.2 juta (untuk mengekalkannya). Itu jumlah yang sangat besar.

“Jika kita dapat menjualnya dengan cepat dan mendapatkan harga terbaik, sekurang-kurangnya kita tidak perlu menanggung jumlah ini. Ia hampir RM2 juta sebulan dan perlu dikenakan cukai,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Peguam Negara Tommy Thomas sebelum ini mengumumkan penerimaan kerajaan untuk tawaran Genting membeli Equanimity bernilai US$ 126 juta (RM529 juta).

Harga berkenaan jatuh pada harga pasaran AS$ 130 juta yang mana Putrajaya berharap dapat menjualnya.

Harga asal kapal layar itu dikatakan bernilai AS$ 250 juta dan dibayar oleh ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho yang dituduh di Malaysia dan Amerika Syarikat atas tuduhan mencuri dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Mengenai sama ada kerajaan gembira dengan harga berkenaan Lim berkata, ‘anda tidak boleh gembira’.

“Ini harga terbaik. Anda sentiasa mahukan lebih banyak, ia semula jadi. Tetapi jika ini harga terbaik yang boleh kita miliki berdasarkan tender terbuka, saya fikir kita harus menerima bahawa ini harga terbaik yang akan kita capai,” katanya. – 3 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen