PAKATAN Harapan (PH) Sarawak yang terdiri daripada tiga parti komponen telah selesai dengan pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Pengerusi PH Sarawak Chong Chieng Jen berkata DAP, PKR dan Amanah memilih untuk mengekalkan status quo yang dipersetujui oleh pakatan sebelum ini (Pakatan Rakyat).
Ini bermakna DAP akan bertanding semula dengan 11 kerusi yang diperuntukkan, PKR 17 dan Amanah dengan 3 kerusi yang sebelum ini diberi kepada PAS.
Dengan ini, tidak akan ada perbalahan mengenai tuntutan bertindih, kata Chong kepada pemberita selepas mesyuarat.
Hanya 31 kerusi parlimen akan dipertandingkan dalam PRU14 di Sarawak.
Pada PRU13, DAP memenangi lima kerusi yang kesemuanya kerusi majoriti Cina bandar iaituBandar Kuching, Stampin, Sarikei, Lanang dan Sibu. Manakala PKR menang satu kerusi iaitu Miri. PAS pula kalah kesemua 3 kerusinya.
Barisan Nasional (BN) terus menguasai semua kerusi majoriti Melayu dana Dayak di kubu luar bandarnya.
Bagaimanapun, dengan keadaan semasa di Semananjung, Chong optimis PH boleh memecahkan cengakaman BN ke atas pengundi luar bandar.
“Situasi di Semenanjung akan menjadi pemangkin kepada perubahan. Kawasan akar umbi Melayu di Semenanjung terutamanya di kawasan Umno, semakin goyah,” kata Chong yang juga Pengerusi DAP Sarawak dan Ahli Parlimen Bandar Kuching.
Chong memberikan empat sebab;
Pertamanya, ialah reaksi buruk rakyat terhadap kenaikan kos sara hidup.
“Kesan dari GST selepas tiga tahun ia dilaksanakan, kemudian ditambah pula dengan kejatuhan nilai ringgi menyebabkan kos sara hidup meningkat,” katanya.
Kedua, skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah menyebabkan keyakinan penjawat awam terhadap institusi penguatkuasaan undang-undang – polis, Bank Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan jabatan Peguam Negara – semakin goyah.
Chong berkata skandal rasuah dan kewangan Felda dan kehadiran bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad telah menambahkan lagi kebimbangan akar umbi kepada Umno.
“Jadi apa yang berlaku di Semenanjung akan beri lebih keyakinan kepada rakyat Sarawak kepada kemungkinan untuk mengubah kerajaan.”
Senario PRU14 di Sarawak akan menjadi pertembungan di antara PH dan BN, katanya. – 13 September, 2017.
Komen