Malaysia, apa sudah jadi?


Lionel Morais

Siasatan awam Suhakam ditubuhkan tahun lalu untuk memastikan sama ada Pastor Raymond Koh, Amri Che Mat, Pastor Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth – adalah mangsa hilang paksa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 April, 2019.

KEPUTUSAN yang mengejutkan hasil siasatan awam Suhakam terhadap kehilangan dua aktivis sosial Pastor Raymond Koh dan Amri Che Mat akan mencetuskan kebimbangan dan prasangka terhadap pasukan polis.

Setidak-tidaknya, kita wajar resah apabila siasatan mendapati polis yang bertanggungjawab atas kehilangan mereka.

Pihak berkuasa sebelum ini didakwa mencampakkan orang ke penjara dan melakukan keganasan.

Sekarang, orang hilang pula?

Lebih sulit lagi, bekas ketua polis negara Khalid Abu Bakar dan pegawai-pegawai Cawangan Khas memberi keterangan dalam siasatan, menafikan sebarang penglibatan polis dalam kes orang hilang ini.

Rakyat Malaysia tidak boleh merelakan polis lepas tangan berselindung di sebalik alasan mereka hanya ikut arahan.

Kalau itu alasannya, dedahkan arahan siapa dan apa jadi kepada mereka, yang sehingga sekarang masih belum dijumpai.

Pihak berkuasa sudah mendakwa perdana menteri, timbalan perdana menteri dan menteri kanan dalam pentadbiran Najib. Apa ada masalah kalau bekas pegawai kanan polis yang perlu didakwa?

Apa lagi yang polis sembunyikan? Apakah kita tidak juga wajar bimbang dalam kes Indira Gandhi, yang sehingga hari ini masih gagal mengesan anak yang dilarikan bekas suaminya?

Mereka yang terlibat perlu bertanggungjawab. Kehilangan aktivis ini berlaku semasa mereka memimpin pasukan polis. Mereka menconteng arang ke muka institusi polis yang sudah 212 tahun berkhidmat bakti.

Malaysia yang sedang bertatih bangkit daripada kesan terperosok dihenyak skandal kleptokrasi terbesar dunia sekarang harus pula berdepan tuduhan pasukan polisnya menculik dan menghilangkan orang.

Kalau kerajaan tidak bertindak segera menghadapkan mereka yang terlibat ke muka pengadilan, dan menunjuk kepada dunia bahawa ia serius mencuci sistem yang busuk, kerajaan juga bertanggungjawab atas hilangnya Pastor Koh dan Amri.

Ya Tuhan, selamatkan Malaysia ini. – 3 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen