Dr Mahathir rela bubar Parlimen daripada serah PM pada Anwar


SM Amin

Mohamad Hasan dicabar tiga calon dalam PRK Rantau yang akan berlangsung pada 13 April ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 April, 2019.

TIMBALAN Presiden Umno Mohamad Hasan mendakwa Dr Mahathir Mohamad lebih rela membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) daripada menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu, Mohamad mahu Umno dan PAS memberi tumpuan untuk membina satu gabungan yang mantap dengan segera bagi menghadapi kemungkinan PRU15 diadakan lebih awal.

“Saya tahu atok (Dr Mahathir) kita tu hatinya keras. Ini (Anwar) yang bercita-cita hendak jadi perdana menteri, mati kering jadi bacang gantung tidak jatuh-jatuh.

“Saya tahu sangat atok kita itu. Dia tidak akan bagi. Mahu tidak mahu esok, payah benar dia bubar Parlimen. Jadi kita mesti bersedia.

“Penyatuan ummah adalah agenda kita supaya kita dapat bina satu gabungan kekuatan baharu,” katanya dalam majlis ramah mesra bersama calon BN di Kampung Bemban malam tadi.

Sebelum PRU14, Pakatan Harapan (PH) mengumumkan Dr Mahathir sebagai perdana menteri untuk suatu tempoh yang tidak dinyatakan sebelum menyerahkan jawatan kepada Anwar.

Dalam wawancara dengan Focus Malaysia minggu lalu, Dr Mahathir sekali lagi menjelaskan tiada had masa yang ditetapkan oleh PH untuk beliau jadi perdana menteri.

“Kalau saya diminta berhenti, saya akan berhenti, kerana tidak ada tarikh tertentu ditetapkan.

“Saya hanya diberitahu bahawa saya ini calon perdana menteri pakatan pembangkang tetapi mereka tidak nyatakan secara khusus sampai bila.

“Mereka kata saya sementara dan ada orang lain akan ambil alih. Saya rasa mungkin lama sebelum pilihan raya akan datang,” katanya.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan mendakwa Dr Mahathir Mohamad lebih rela membubarkan Parlimen, daripada serah jawatan perdana menteri kepada Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 April, 2019.

Februari lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendedahkan ada pihak tertentu dalam PH yang mahu menyingkirkan Dr Mahathir melalui undi tidak percaya di Parlimen, dan PAS akan menyokong pengerusi Bersatu itu.

Ketua Biro Strategi dan Dasar Bersatu Rais Hussin juga pernah mengaku wujud gerakan dalam kalangan penyokong Dr Mahathir dan Anwar sendiri untuk menggagalkan proses peralihan kuasa antara mereka.

Mandat

Mohamad berkata Dr Mahathir tidak mempunyai mandat yang kuat sebagai perdana menteri kerana parti yang beliau wakili, Bersatu hanya mempunyai 13 kerusi Parlimen saja ketika beliau dilantik ke jawatan itu.

“Tun Mahathir bukan perdana menteri yang mempunyai mandat yang kuat seperti mana beliau menjadi perdana menteri semasa dalam Barisan Nasional (BN).

“Beliau dipilih daripada parti yang hanya mempunyai 13 kerusi. Dia sendiri kata hendak jadi perdana menteri pun terpaksa minta izin dan persetujuan daripada DAP kerana DAP dan PKR miliki kerusi majoriti besar di dalam Parlimen sekarang,” katanya.

Selepas beberapa ahli Parlimen Umno keluar parti dan menyertai Bersatu, parti itu kini mempunyai 22 wakil di Dewan Rakyat.

Bagi menghadapi kemungkinan PRU15 diadakan lebih awal, Mohamad berkata Umno dan PAS tidak boleh mengulangi kesilapan strategi dalam PRU14 lalu dan mesti mengelak daripada berlakunya pertandingan tiga penjuru.

“30 kerusi parlimen kita (BN) kalah disebabkan pertandingan tiga penjuru. Jika tidak ada pertandingan tiga penjuru, kita susun persefahaman ini, 30 kerusi itu tidak akan kalah.

“Sebab itu saya amat yakin, jika persefahaman yang kita pupuk sekarang ini iaitu penyatuan ummah seluruh rakyat Malaysia khususnya orang Melayu Islam, saya yakin PRU15 kita akan rampas kerajaan daripada PH,” katanya.

Mohamad berkata kerjasama Umno dan PAS, dua parti terbesar Melayu Islam di Malaysia, bukanlah deklarasi perang ke atas kaum bukan Melayu dan bukan Islam.

“Kita hendak bersatu bukan berperang. Sebab itu kita panggil perpaduan ummah, bukan perpaduan Melayu. Ummah ini rakyatlah.

“Bila Umno dan PAS bekerjasama, secara automatik orang Melayu akan bersatu. Bila Melayu sebagai penduduk majoriti bersatu, secara tidak langsung kaum lain akan merasa nikmat kedamaiannya.

“Bila rakyat bersatu padu negara akan stabil dan orang akan melabur di negara kita. Siapa yang hendak melabur di negara yang politiknya tidak stabil. Ini yang sedang kita buat,” katanya.

Mohamad dicabar tiga calon dalam Pilihan Raya Kecil Rantau yang akan berlangsung pada 13 April ini. – 3 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Mampuih la ekau jang kalau nak tohmah Tun tak mau serah kuasa. Org nogori blh la ekau bodohkan. Tun pernah serah kuasa pd Pak Lah. Najib kleptokrasi yang ekau sokong buek Tun jd PM balik. Apo susah nak bg kuasa pado Anwar

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Rizuan abdul rahman · Ulasan