7 mayat pelarian Rohingya termasuk kanak-kanak terdampar di pantai Bangladesh


Ramai pelarian Rohingya mati akibat bot yang mereka naiki terbalik ketika menyeberangi Teluk Bengal atau Sungai Naf. – Gambar AFP, 13September, 2017.

TUJUH mayat dipercayai mayat Rohingya ditemui terdampar di pantai Bangladesh hari ini, kata pihak berkuasa. 

Sekurang-kurangnya 99 orang diketahui meninggal dunia akibat meretasi perairan berbahaya menggunakan bot-bot yang diperbuat daripada bahan-bahan rapuh semenjak krisis yang meletus pada 25 Ogos di Rakhine.

“Kami menemukan tujuh mayat termasuk kanak-kanak hari ini di pantai kami,” kata Leftenan Kolonel S.M. Ariful Islam yang mengetuai kawalan di sempadan Bangladesh.

Katanya, beberapa bot Rohingya terbalik malam semalam berhampiran kampung sempadan Shah Porir Dwip di muara Sungai Naf yang memisahkan Myanmar dan Bangladesh.

Sementara bot yang lain dalam keadaan “amat reput”, dikatakan menggunakan bangkai bot-bot yang telah terbalik. Dua lagi mayat ditemui di pantai semalam, katanya.

Bot-bot yang membawa pelarian Rohingya tiba setiap hari selepas menyeberangi Teluk Bengal atau Sungai Naf.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cox’s Bazardi sempadan Myanmar, Humayun Rashid berkata kebanyakan 99 orang yang mati adalah kanak-kanak di bawah umur.

“Majoriti mangsa adalah kanak-kanak. Beberapa mayat ada kesan peluru,” katanya.

Pihak polis dan pengawal sempadan berkata sepanjang tempoh dua minggu ini, terdapat sehingga enam buah bot yang melebihi muatan terbalik. Kebanyakannya adalah bot-bot kecil dan usang yang tidak sesuai membawa penumpang. 

“Ini adalah bot-bot kecil yang bukan untuk kegunaan di laut lepas atau menghadapi ombak besar di muara Sungai Naf,” kata Islam.

PBB menganggarkan beratus-ratus bot tiba di kampung-kampung Bangladesh di Shamlapur dan Shah Porir Dwip di Sungai Naf sejak Rabu lepas.

PBB berkata sejak 25 Ogos, sekurang-kurangnya 370,000 umat Islam Rohingya melarikan diri dari keganasan tentera Myanmar di Rakhine. Mereka membanjiri kem-kem pelarian yang sedia padat di Bangladesh. – AFP, 13 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen