Rangka Kerja Kecerdasan Buatan Kebangsaan siap akhir tahun


Mikha Chan

Pengarah Data Ekonomi MDEC, Karl Ng Kah Hou berkata rangka kerja itu memacu pertumbuhan industri dengan melaksanakan sistem AI. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 2 April, 2019.

RANGKA Kerja Kecerdasan Buatan Kebangsaan akan siap untuk dibentangkan kepada Kabinet menjelang akhir tahun, kata Pengarah Data Ekonomi, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Karl Ng Kah Hou.

Ng berkata rangka kerja itu bertujuan, antara lain, untuk memacu pertumbuhan industri dengan melaksanakan sistem kecerdasan buatan (AI) dan mendorong kesedaran dan penerimaan lebih tinggi.

“Kesedaran dan promosi sangat kritikal. Kami akan menekankan dan memperincikan faedahnya. Tidak banyak kes penggunaannya,” katanya.

Ng berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran kajian hari ini oleh Microsoft dan IDC Asia/Pasifik, bertajuk “Future Ready Business: Assessing Asia Pacific’s Growth Potential Through AI”.

“Kita sudah mengadakan perbincangan kumpulan fokus dengan ahli akademik, persatuan, pemain industri dan pihak berkepentingan dalam kerajaan,” katanya.

“Memiliki program seperti hackaton adalah sesuatu yang kita lakukan juga.”

Ng enggan memberi jawapan konkrit apabila ditanya bila rangka kerja itu sedia untuk dilaksanakan, dengan mengatakan ia bergantung kepada keputusan Kabinet.

Beliau berkata rangka kerja itu dibina di atas enam blok bangunan, iaitu membangunkan ekosistem data, memastikan infrastruktur dan keselamatan siber, memacu kesedaran dan penerimaan, memupuk bakat, meningkatkan inovasi dan penyelidikan serta pembangunan, dan memupuk urus tadbir AI.

Beliau berkata terdapat lebih 60 syarikat baharu di Malaysia yang berurusan dengan AI, dengan 72% pengguna AI dan 28% menjadi penyedia solusi. – 2 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen