CALON Barisan Nasional (BN) Mohamad Hasan menepis cabaran lawannya agar beliau mengisytiharkan harta untuk bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) DUN Rantau.
Timbalan presiden Umno itu menegaskan, beliau tidak perlu mengistihar harta kerana tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam kerajaan.
Jelasnya, beliau semakan ke atas hartanya boleh dibuat di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana beliau mengisytihar harta semasa menjadi menteri besar.
“Saya setiap penggal isytihar harta dengan SPRM. Pergilah semak dengan mereka. Dia tidak tahu setiap tahun saya kena isytihar harta, bukan saja-saja jadi MB.
“Sekarang saya sudah tidak jadi MB, tak pegang jawatan, tidak perlu isytihar harta. Lagipun harta saya makin lama makin susut tidak bertambah.
“Kalau nak tengok harta saya pergi semak dengan SPRM. Di sana (SPRM) ada dan ada satu salinan di SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri). Itu memang sudah dilakukan oleh wakil rakyat kita dari dulu lagi,” katanya di Rantau.
Mohamad menepis cabaran disuarakan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution yang mempersoalklan kejujurannya kerana masih tidak mengisytiharkan harta untuk kempen PRK ini.
Saifuddin berkata ia berbeza dengan sikap Menteri Besar, Aminuddin Harun dan juga calon Pakatan Harapan Dr S. Streram yang telah berbuat demikian.
Saifuddin dalam ceramahnya di DUN Rantau semalam dilaporkan berkata, pengisytiharan harta itu bertujuan untuk menunjukkan ketelusan dan integriti calon.
Jelasnya, ia akan dapat menunjukkan harta seseorang calon tidak berbeza, sebelum dan selepas dipilih dan harta berkenaan juga diperolehi secara sah..
Mengulas lanjut, Mohamad bagaimanapun mempersoalkan tujuan tersebut dan berpendapat calon yang bertanding dalam PRK tidak perlu mengisytihar harta terutamanya calon pembangkang.
“Saya tidak nampak relevannya pengisytiharan harta dengan PRK ini. Apa yang hendak dibuktikan? Tapi bagi pihak sana pengisytiharan harta itu perlu kerana mereka sudah jadi kerajaan.
“Macam Saifuddin Nasution itu perlu. Tapi Streram kalau nak isytihar harta dia tak apalah. Tapi untuk apa?” ujarnya. – 2 April, 2019.
Komen