HALIMAH Yacob, yang hari ini diisytihar sebagai bakal Presiden Singapura yang baru, berikrar mahu jadi presiden untuk semua rakyat republik itu, lapor media di Singapura.
Halimah, 63, disahkan sebagai bakal presiden selepas kertas pencalonannya untuk pilihan raya khusus bagi calon Melayu diterima dan disahkan tengah hari tadi.
Ini menjadikan beliau presiden wanita pertama bagi Singapura sekaligus presiden Melayu pertama dalam masa 47 tahun selepas Yusof Ishak, lapor Berita Harian Singapura.
“Saya presiden untuk semua orang. Walaupun ini pilihan raya khusus, saya bukan bukan presiden khusus,” katanya dalam pidato pertama selepas disahkan bakal presiden, seperti dipetik oleh Channel News Asia.
Berucap dalam bahasa Melayu dan Inggeris, Halimah juga merakamkan terima kasih kepada semua warga Singapura dan menyeru rakyat republik itu terus bersatu.
“Saya pohon kita memberikan perhatian pada persamaan yang ada antara kita dan bukannya perbezaan kita,” katanya, dalam mesej meminta rakyat Singapura mengekalkan perpaduan dan bersama-sama berusaha mencapai yang terbaik untuk republik.
Halimah dijadual mengangkat sumpah sebagai presiden Singapura kelapan pada pukul 6 petang esok di Istana Presiden, kata satu kenyataan media daripada Pejabat Perdana Menteri Singapura, seperti dipetik oleh Channel News Asia.
Pegawai Pilihan Raya, Ng Wai Choong yang menerima kertas pencalonan Halimah mengumumkan beliau sebagai bakal presiden setelah tiada pencalonan lain diterima.
Halimah merupakan satu-satunya calon yang menerima sijil kelayakan bertanding dalam pilihan raya presiden 2017, yang julung kali dikhaskan untuk kaum Melayu. Dua calon lain, ahli perniagaan Mohamed Salleh Marican dan Farid Khan, tidak memenuhi syarat untuk bertanding.
Pencalonan Halimah sebelum ini dibantah sebahagian rakyat Singapura yang menganggap beliau bukan presiden mereka kerana tidak dipilih dengan undi oleh rakyat.—13 September 2017
Komen