Peniaga kedai makan Johor mengeluh kurang pelancong Singapura


Khoo Gek San

Peniaga kedai makan di Johor mengadu tentang masalah perniagaan yang dihadapi mereka susulan penurunan jumlah pelancong Singapura. Mereka mendakwa pendapatan perniagaan berkurangan sebanyak 30%. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 April, 2019.

SEKTOR makanan dan minuman di Johor Bahru menerima kesan buruk ekoran penurunan jumlah pelancong yang tiba dari Singapura, kata kelompok industri.

Mereka menyalahkan kelewatan di kaunter imigresen pada pintu masuk dan hubungan tegang antara kedua-dua negara sejak peralihan kerajaan, sebagai punca penurunan jumlah pelancong.

Mereka berkata jumlah pelancong dari Singapura menurun sebanyak 14.7%, dengan hanya 10.62 juta ketibaan pelancong republik itu direkodkan pada 2018, menyebabkan Malaysia tidak mencapai sasaran 26.4 juta pelancong ke negara ini pada tahun tersebut.
 
Malaysia mencatatkan ketibaan 25.83 juta pelancong secara pada 2018.

Presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura (MSCSPGA) Ho Su Mong memberitahu The Malaysian Insight ahli persatuan itu yang beroperasi di Johor mengadu tentang masalah perniagaan yang dihadapi mereka susulan penurunan jumlah pelancong Singapura.

Akibatnya, MSCSPGA berkata pendapatan mereka berkurangan sebanyak 30%.

Ho berkata pelancong Singapura terpaksa melalui proses yang lama di pusat pemeriksaan Imigresen Malaysia.

“Industri pelancongan Johor meningkat disebabkan kehadiran pelancong Singapura. Penurunan ini juga memberi kesan kepada industri perkhidmatan secara keseluruhannya.

“Selain pusat pemeriksaan yang padat dan tempoh masa menunggu lama, ketegangan kedua-dua negara yang masih berterusan juga memburukkan lagi situasi.

“Ramai pelancong Singapura tidak datang ke sini kerana masalah yang dihadapi kedua-dua negara,” katanya merujuk kepada pertikaian udara dan maritim selain tuntutan Putrajaya agar Singapura membeli air mentah dari Johor dengan harga yang lebih tinggi.

Melaka, yang merupakan satu lagi lokasi tumpuan pelancong Singapura, turut menerima kesan apabila pendapatan perniagaan kedai kopi berkurangan.

Sambil memberi contoh proses pemeriksaan yang lancar di Pulau Hainan, China, Ho berkata beliau tidak faham mengapa perlu mengambil masa sejam untuk proses pemeriksaan untuk selesai di Imigresen Johor.

Beliau memberi amaran bahawa tempoh menunggu yang lama tidak bagus untuk Malaysia jika mahu terus menarik pelancong dari republik itu.

“Mengapa perlu mengambil masa yang lama? Adakah mereka perlu menaiktaraf sistem?” – 2 April, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen