GOLONGAN Bumiputera tidak boleh terus dibuai rasa selesa dengan keistimewaan yang dinikmati untuk memastikan negara kembali menjadi Harimau Asia, kata Menteri Besar Johor Osman Sapian.
Pada masa sama, golongan tersebut juga tidak harus membiarkan diri mereka ditakut-takutkan dengan dakwaan bahawa kedudukan itu terancam, katanya.
“Oleh itu, Melayu Bumiputera zaman ini tidak boleh lagi berada dalam bayang-bayang sendiri sehingga kabur dan tenggelam dalam keselesaan yang diperolehi,” katanya.
“Sejak dahulu lagi, Melayu sering dimomok-momokkan dengan tanggapan bahawa kedudukan mereka kini terancam. Ini tidak lebih daripada sekadar retorik politik mengarut yang digerakkan oleh mereka yang berpaut pada politik naungan.
“Walaupun sudah ramai Melayu yang berpendidikan, kita masih tidak mampu meyakinkan diri kita sendiri bahawa tiada apa yang perlu ditakutkan oleh Melayu di negara ini yang jelas mempunyai hak dan dilindungi dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Osman.
Katanya, orang Melayu perlu menggunakan logik, fakta dan daya intelek untuk menyelesaikan masalah dan tidak membiarkan diri mereka dibuai emosi.
“Orang Melayu kini mempunyai dua pilihan, sama ada meneruskan naratif emosi dan tidak rasional sehingga membakar diri sendiri atau berhenti sejenak dan menyeru ke arah perubahan bersama,” katanya.
Katanya, pelbagai langkah telah dilaksanakan demi menjadikan Bumiputera terus berdaya saing dengan kaum lain dalam pelbagai bidang khususnya pendidikan.
Melayu dan Bumiputera di Malaysia juga katanya beruntung kerana mereka telah dibela dalam segenap hak-hak istimewa dalam Perlembagaan negara.
“Sedar atau tidak, banyak kelebihan itu sebenarnya berada disekeliling kita,” katanya.
“Jika kita mahu Malaysia kembali menjadi Harimau Asia, Melayu tidak boleh leka dengan segala hak dan keistimewaan mereka yang sedikit sebanyak menyumbang kepada punca Melayu ketinggalan,” tambahnya.
Beliau berucap di Konvensyen Harimau Asia di Universiti Teknologi Mara di Shah Alam, hari ini. – 1 April, 2019.
Komen