Iktiraf UEC secara uniteral, Rais Yatim bantah Peguam Negara


Bekas menteri Rais Yatim berkata dakwaan yang mengatakan Peguam Negara terjebak dalam politik partisan menjadi semakin jelas. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 1 April, 2019.

PEGUAM Negara sepatutnya perlu menunggu hasil perbincangan Kementerian Pendidikan berhubung Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan bukannya secara uniteral mengiktiraf sijil kelayakan itu untuk menduduki peperiksaan, kata bekas menteri Rais Yatim.

Dalam satu nota bantahan yang disiarkan menerusi laman Facebooknya hari ini, bekas pemimpin Umno itu yang kini merupakan pengerusi Bersatu Negeri Sembilan berkata Tommy Thomas perlu menyedari risiko yang dicetuskannya terhadap sistem pendidikan negara susulan tindakannya itu.

“Saya fikir anda perlu bersabar lebih lama sedikit supaya kerajaan boleh membuat keputusan yang terbaik.

“Tunggu kementerian yang berkaitan untuk menyelesaikan perbincangannya. Kemudian buat keputusan selepas berunding dengan Kabinet,” katanya.

Beliau merujuk kepada Pasukan Petugas Dasar UEC yang ditubuhkan Kementerian Pendidikan bagi meneliti isu UEC dan menterinya, Dr Maszlee Malik berkata kajian berhubung perkara itu sedang dilaksanakan.

Maszlee berkata pengiktirafan UEC bagi tujuan menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP) bukan dilakukan kementeriannya.

UEC merupakan sijil yang dikeluarkan Sistem Sekolah Menengah Persendirian Cina Malaysia dan silibusnya tidak mengikut sistem pendidikan kebangsaan.

Pengiktirafan UEC merupakan isu sensitif kepada golongan nasionalis Melayu yang menentang pendidikan vernakular.

Jumaat lalu, Thomas, yang mempengerusikan Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia (LKPUM) berkata UEC akan diiktiraf sebagai setaraf dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan A-Levels bagi menduduki CLP berkuatkuasa  1 Januari 2021.

Sementara itu, Rais berkata dakwaan yang mengatakan Peguam Negara terjebak dalam politik partisan menjadi semakin jelas.

“Beliau kini membuatkan kita ada dua saluran rasmi pendidikan. Dalam undang-undang anda iktiraf UEC, dalam sistem vernakular keputusan belum dibuat.

“Apabila ia menjadi isu politik, anda akan sedar bahawa ia (politik) bukan tempat yang sesuai,” katanya.  – 1 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen