Usul pinda had umur mengundi dibentang Jun, kata Syed Saddiq


Mohd Farhan Darwis

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika berucap semasa Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 1 April, 2019.

USUL untuk meminda Perlembagaan bagi membolehkan rakyat berusia 18 tahun mengundi akan dibentangkan Jun depan, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ahli Parlimen Muar itu berkata perkara itu telahpun diputuskan dalam satu mesyuarat Kabinet.

“Pada mesyuarat jemaah menteri yang lepas, jemaah menteri tbuat ketetapan khas dan kita setuju pinda Perlembagaan untuk turunkan dan pinda had umur mengundi kepada 18 tahun daripada 21 tahun.

“Kita juga bersetuju berkenaan masanya iaitu pada sesi Parlimen akan datang, antara Jun dan Julai, kita akan bentang pindaan,” kata ketua Pemuda Bersatu itu kepada pemberita, di UiTM Shah Alam.

Tambahnya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga akan mengetuai usaha untuk meminda usul tersebut demi kepentingan anak muda.

“KBS akan mengepalai gerakan tersebut untuk pastikan anak muda menjadi penentu kepada pilihan raya dan pada masa sama hak kita akan terbela dan terjaga,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Oktober mendedahkan 32 daripada 51 parti politik di negara ini bersetuju dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan menurunkan had umur kelayakan mengundi itu.

Pengerusnya Azhar Azizan Harun berkata, tiada bantahan dinyatakan wakil parti politik berhubung perkara berkenaan dalam sesi perbincangan antara SPR dan wakil parti politik.

Pada 19 September lalu, Kabinet mengumumkan kerajaan juga bersetuju dengan cadang itu yang dijangka akan dilaksana dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). – 1 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen