Umno-PAS jihad tumbangkan kerajaan anti-Islam, kata Ismail Sabri


SM Amin

Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob berkata perjuangan Umno-PAS jihad untuk menumbangkan kerajaan anti Islam kepada kerajaan Melayu dan Islam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 April, 2019.

PERJUANGAN Umno dan PAS merupakan jihad untuk menumbangkan kerajaan anti Islam kepada kerajaan Melayu dan Islam, kata Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob.

Ismail berkata kerajaan yang wujud pada hari ini diperintah oleh bukan Islam di mana parti yang mempunyai bilangan kerusi terbanyak adalah DAP.

“Tidak ada negara yang ditadbir oleh kaum minoriti. Sebab itu saya anggap perjuangan ini adalah jihad. Perjuangan ini jihad untuk menumbangkan kerajaan anti Islam kepada kerajaan Islam dan Melayu.

“Apabila mereka menguasai kerajaan, agenda Melayu Islam diketepikan kerana DAP yang memerintah,” katanya dalam program Pidato Himpunan Ummah Selangor di Sabak Bernam malam tadi.

Program bersama anjuran Umno dan PAS Sabak Bernam itu turut menampilkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebagai pemidato utama.

Ismail yang merupakan pengerusi Badan Perhubungan Negeri Selangor yakin dengan kerjasama Umno dan PAS, berkata gabungan itu bukan saja mampu merampas Selangor tetapi juga Putrajaya.

Beliau berkata daripada 56 kerusi DUN di Selangor, 34 kerusi majoriti Melayu manakala di peringkat Parlimen pula terdapat 126 kerusi Parlimen majoriti Melayu di Semenanjung Malaysia.

“Kalau kita tidak bertanding tiga penjuru, ada 32 kerusi lagi yang boleh kita menang. Kita ada 126 kerusi Parlimen majoriti Melayu lebih 50% di Semenanjung. Bila kita memerintah Sabah dan Sarawak akan sertai kita.

“Kalau kita boleh bahagi kerusi elok-elok, saya yakin di Selangor kita boleh menang. Gabungan kerjasama ini juga boleh menang negeri lain. Kita sudah kira. Dengan kerjasama ini tiada sebab untuk gabungan ini tidak boleh rampas Putrajaya,” katanya.

Bagaimanapun, Ismail berkata walaupun di atas kertas peluang untuk menang pilihan raya sudah ada, persetujuan di peringkat akar umbi mengenai gabungan kerjasama itu sangat penting supaya ia dapat direalisasikan.

“Persetujuan akar umbi mengenai kerjasama ini sangat penting. Yang atas dah ok. Ketepikanlah segala apa yang berlaku selama ini. Kita pandang ke depan,” katanya. – 1 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen