PAS izin pimpinan akar umbi runding PKR, Bersatu


Noor Azam Shairi

PAS membenarkan pemimpinnya di peringkat kawasan dan negeri meneruskan rundingan pembahagian kerusi dengan PKR dan Bersatu sebagai persiapan menjelang PRU14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 September, 2017.

PAS membenarkan pemimpinnya di peringkat kawasan dan negeri untuk meneruskan rundingan pembahagian kerusi dengan parti pembangkang PKR dan Bersatu sebagai persiapan menuju pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Keputusan itu dibuat biarpun pendirian rasmi parti Islam itu ialah untuk tidak mengikat sebarang pertalian dengan Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai oleh PKR dan Bersatu.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight keputusan terbaru PAS ini dibuat minggu lalu dalam satu permukiman pimpinan tertinggi parti di Pulau Pangkor, Perak.

Permukiman bermula 5 hingga 8 September itu dihadiri oleh semua pucuk pimpinan PAS termasuk Mursyidul Am Hashim Jasin dan Presiden Abdul Hadi Awang. Ia turut disertai oleh ahli Majlis Syura Ulama, ahli jawatankuasa PAS Pusat dan Lembaga Penasihat parti.

“Misalnya, PAS Kedah mahu berbincang dengan Bersatu di negeri itu, permukiman ini membenarkannya,” kata sumber itu yang menghadiri permukiman tersebut.

Keputusan pada permukiman itu membuka jalan kepada pemimpin parti Islam itu di peringkat negeri untuk meneruskan kerjasama politik dengan parti dalam PH bagi memastikan pertandingan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN).

PAS dan PH secara rasminya mengumumkan sedia bertemu dalam pertembungan tiga penjuru bersama BN pada pilihan raya umum akan datang.

Secara tradisinya, pertandingan tiga penjuru akan menguntungkan BN kerana undi kepada pembangkang akan terpecah.

“Keputusan itu disokong penuh oleh peserta permukiman,” kata sumber itu lagi.

Mereka bagaimanapun menegaskan semula keputusan parti untuk bersiap sedia menghadapi pertembungan tiga penjuru menentang PH dan BN.

Majlis Presiden PH dua minggu lalu sepakat memutuskan menutup pintu rundingan dengan PAS ketika PKR berusaha mewujudkan kerjasama dengan parti Islam itu sekurang-kurangnya di Selangor.

Keputusan PH itu dimeterai oleh pengerusinya, Dr Mahathir Mohamad dan wakil setiap parti komponen terdiri daripada Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Majlis Presiden PH itu juga mengumumkan sedang berusaha merangka strategi untuk kemungkinan menghadapi pertandingan tiga penjuru dalam PRU14.

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan pimpinan PAS di tiga negeri – Kelantan, Selangor dan Kedah – memohon kebenaran daripada PAS Pusat untuk membenarkan mereka bekerjasama dengan PH dalam pilihan raya umum akan datang. – 13 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen