J.J Abrams bakal arah Star Wars: Episode IX


J.J Abrams dianggap pengarah filem sains fiksyen yang dikejar ramai disebabkan kejayaanya menulis, mengarah dan menerbitan beberapa filem pecah panggung termasuklah Star Wars: The Force Awakens. – Gambar EPA, 13 September, 2017.

J.J ABRAMS dijangka akan mengarahkan filem “Star Wars: Episode IX” selepas Colin Trevorrow meninggalkan produksi filem berkenaan, umum Lucasfilm semalam, seterusnya menangguhkan tayangan filem itu tujuh bulan lagi.

Abrams- pengarah yang dikenali ramai dalam siri “Star Wars” juga mengarahkan “The Force Awakens” (2015)- akan menulis skrip filem itu bersama Chris Terrio yang memenangi Oscar untuk lakon layar filem “Argo”(2012), kata syarikat dimiliki Disney itu.

“Dengan ‘The Force Awakens’, J.J menyampaikan apa yang kita harapkan selama ini, dan saya teruja yang dia akan kembali dan menutup trilogi ini,” kata Presiden Lucasfilm Kathleen Kennedy dalam satu kenyataan.

Disney juga mengumumkan yang “Episode IX” yang awalnya dijangka ditayangkan pada 24 Mei 2019 akan ditayangkan pada 20 Disember tahun itu.

Abrams yang dianggap ramai sebagai pengarah pintar dalam filem sains fiksyen sebelum ini berjaya menerbitkan kembali siri “Star Trek”, mengarahkan dua filem baru, selain menerbitkan trilogi “Cloverfield” dan filem akan datang “Star Wars: Episode VIII- The Last Jedi.”

“The Force Awakens” adalah filem ketiga mengutip kutipan terbanyak sepanjang zaman, mengutip AS$2.1 bilion.

Tetapi perancangan penerbitan siri filem itu tidak berjalan lancar untuk Lucasfilm, beberapa pengarah sebelum ini membatalkan keputusan mengarahkan filem itu yang mengatakan tekanan begitu besar untuk terlibat dalam penerbitannya.

Lucasfilm mengumumkan minggu lalu yang Trevorrow meninggalkan kerusi pengarah “Episode IX” selepas perbezaan kreatif antaranya dan eksekutif syarikat itu.

The Hollywood Reporter yang memetik satu sumber tidak mahu dikenali mengatakan Trevorrow meninggalkan produksi filem itu kerana “masalah skrip” berterusan yang menyebabkan dia terpaksa menulis kembali beberapa kali. – AFP, 13 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen