APPLE mendedahkan tiga jenis model iPhone baru semalam, termasuklah satu model yang disifatkan “anjakan terbesar” sejak siri telefon itu diperkenalkan 10 tahun lalu.
Ketua Eksekutif Apple Tim Cook mengumumkan model iPhone X- dipanggil 10- selain dua model baru iPhone 8 dan 8 Plus.
Cook yang bercakap buat pertama kali di panggung kampus baru yang dinamakan sempena mendiang pengasas bersama Apple, Steve Jobs, berkata yang model terbaru itu adalah batu loncatan baru kepada syarikat itu selepas satu dekad mengeluarkan model iPhone.
“Sepuluh tahun sudah berlalu dan sesuai sekali nampaknya kita berada di sini, pada hari ini untuk mendedahkan produk yang akan membuka jalan baru teknologi dekad seterusnya,” kata Cook, menyifatkan iPhone X sebagai “anjakan terbesar sejak iPhone asal.”
iPhone X mempunyai skrin penuh 5.8 inci dan menggunakan pengenalan muka sebagai keselamatan telefon, dan meningkatkan paparan “super retina” dengan menaik taraf grafik dan resolusi.
Model terbaru itu akan mula dijual pada 3 November dengan harga permulaaan AS$999, sementara iPhone 8 dan 8 Plus akan mula dijual sebulan kemudian dengan harga AS$699 dan AS$799.
Kesemua tiga model baru itu menawarkan pengecasan wayarles menggunakan piawaian global Qi.
Naib Presiden Kanan Apple, Phil Schiller berkata badan iPhone 8 dan 8 Plus merupakan telefon pintar pertama yang “dibentuk untuk augmented reality”, dengan kuasa dan grafik yang lebih hebat berbanding model sebelumnya. – AFP, 13 September, 2017.
Komen