PERDANA Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata semalam yang perjanjian nuklear antara kuasa besar dunia dan Iran perlu dipinda atau dibatalkan.
Bercakap di Buenos Aires bersama-sama Presiden Argentina Maurico Macri, Netanyahu berkata dia mahu membetulkan tanggapan laporan media terbaru tentang pendirian Israel mengenai perjanjian 2015 yang mengatakan negara itu sudah berlembut.
“Jadi biar saya ambil peluang ini dan jelaskan. Pendirian kami jelas. Perjanjian ini teruk- baiki atau batalkan. Inilah pendirian Israel.”
Netanyahu berulang kali mengkritik Iran sejak tiba di Argentina pada Isnin lalu, dia adalah perdana menteri Israel pertama melawat negara Amerika Latin itu.
Dia menuduh Tehran menggerakkan “ jentera keganasan yang berada di seluruh dunia, menggerakkan sel pengganas di banyak benua, termasuklah di Amerika Latin.”
“Dalam kes Iran, ia bukan hanya soal keganasan, ia juga tentang pembangunan senjata nuklear yang membimbangkan kami dan perlu dibimbangi masyarakat antarabangsa.”
Menyentuh mengenai situasi Amerika Syarikat dan dunia yang kini sibuk menangani Korea Utara, dia berkata: “Kami faham bahaya negara penyangak mempunyai bom atom.”
Macri yang menyambut Netanyahu di kediaman presiden Casa Rosada berkata lawatan itu adalah “langkah penting” untuk meningkatkan hubungan komersial antara dua negara.
Ketika kerajaan Israel berusaha mencari rakan dan sekutu, berpuluh aktivis haluan kiri mengibarkan bendera Palestin membantah lawatan Netanyahu di Buenos Aires semalam.
Menggelarkan Macri sebagai “Mauricio, sahabat saya,” pemimpin Israel itu berkata lawatannya itu menandakan era baru- “dan bukan kebetulan kami bermula di sini dengan anda.”
Netanyahu yang diiringi 30 ahli delegasi ahli perniagaan Israel, berkata Israel adalah “negara inovasi” yang tidak sabar mahu berkongsi peluang dengan Argentina dalam bidang pertanian, air, IT, keselamatan siber dan kesihatan.
Kedua-dua presiden itu menandatangani beberapa perjanjian tentang insuran sosial, penyelerasan kastam dan kerjasama polis.
Macri juga menyerahkan Netanyahu hampir 140,000 dokumen dan foto bersejarah dalam bentuk digital sebelum dan selepas Perang Dunia Kedua.
Dokumen itu membolehkan pemahaman lebih mendalam tentang Holocaust dan jenayah kemanusiaan, kata Israel.
Pada Isnin, Netanyahu menghadiri majlis memperingati mangsa serangan bom di Kedutaan Israel pada 1992 dan pusat komuniti Yahudi pada 1994.
Serangan di kedutaan itu membunuh 29 orang dan mencederakan 200 yang lain, sementara letupan di pusat komuniti itu membunuh 85 orang dan mencederakan 300 orang.
Tetapi beberapa keluarga mangsa enggan menghadiri majlis itu menyifatkan lawatan Netanyahu kerana urusan perniagaan dan bukannya mahu memperingati mangsa.
Pada lawatannya di Buenos Aires, pemimpin tertinggi Israel itu dijadualkan bertemu Presiden Paraguay, Horacio Cartes.
Selepas lawatan dua hari itu, Netanyahu akan melawat Colombia dan Mexico sebelum menuju ke New York untuk menghadiri Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. – AFP, 13 September, 2017.
Komen