TAHAP ekonomi peneroka Felda kini semakin baik selepas mencuba ternakan tanaman komersial tambahan selain kelapa sawit, kata penasihat kerajaan Daim Zainuddin.
Beliau melihat perkara itu dalam kunjungannya ke kawasan peneroka yang menanam tanaman kontan, membela lembu serta ikan, katanya dalam satu wawancara dengan The Star.
“Saya di Johor dua minggu lalu dan bertemu dengan Peladang. Mereka ada 110,000 anggota. Mereka ada ternakan lembu, ayam, (menanam) nenas, buah-buahan dan (keadaan) mereka baik,” katanya.
Ia salah satu cara untuk memberi pendapatan baharu kepada golongan peneroka yang banyak memberi sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya 9 Mei.
Bekas menteri kewangan itu menjelaskan, perkara pokok yang perlu dilakukan untuk membantu golongan itu adalah menunaikan janji dalam manifesto PH.
Kalangan peneroka dalam 54 kawasan Felda itu kini terjejas akibat harga komoditi sawit yang rendah dan kekurangan permintaan eksport.
Daim menjelaskan, usaha tersebut memerlukan pegawai yang berpengalaman serta persatuan baharu di kalangan negara pengeluar sawit.
Jelasnya, Malaysia perlu bekerjasama dengan negara pengeluar seperti Filipina, Thailand dan Indonesia untuk berunding dengan pembeli utama – India, Kesatuan Eropah dan China.
“Harga kelapa sawit turun tetapi ni bukan perkara baharu. Ia melibatkan kuasa pasara dan saya sudah melaluinya banyak kali. (Yang penting) adalah cara menanganinya,” kata Daim.
“Hari ini, pembeli utama adalah India, Kesatuan Eropah dan China. Mereka adalah pelanggan, jadi kita perlu pergi berunding dengan mereka dengan baik.
“Tetapi Malaysia tidak boleh menyelesaikan masalah ini dengan sendiri. Kita perlu berunding dengan Indonesia, Filipina dan Thailand untuk menghadapinya sebagai satu kumpulan.
Daim dilantik kerajaan untuk berunding dengan China pada bulan hadapan, yang dijangka akan meliputi projek berimpak tinggi melibatkan pelaburan negara itu di Malaysia.
Ia juga dijangka akan meliputi dagangan antara dua negara, termasuk komoditi sawit. – 31 Mac, 2019.
Komen