Anwar bermasalah jika PKR kalah di Rantau


SEPERTI dijangka, penamaan calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) N27 Rantau, Negeri Sembilan, hari ini menyaksikan Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas presiden Umno, Mohamad Hasan, ditentang oleh Timbalan Ketua PKR Rembau Dr Streram Sinasamy.

Kemasukan dua calon bebas, iaitu Mohd Nor Yasin dan Malar Rajaram, tidak dijangka akan mengubah apa-apa sebaliknya hanya memberi ruang kepada mereka untuk memeriahkan proses demokrasi selain menghadiahkan wang deposit mereka kepada pihak SPR.

Pemilihan Dr Streram sebagai calon PKR dalam PRK N27 Rantau juga langsung tidak mengejutkan kerana ia telah diketahui jauh lebih awal lagi setelah pencalonan beliau diumumkan oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim, pada 11 Mac 2019.

Pencalonan Dr Streram adalah satu keputusan yang berani, apa lagi bila ia dibuat selepas media massa melaporkan berita rakannya dari PKR, Santhara Kumar Ramanaidu, membuat laporan polis terhadap beliau kerana menipu sebanyak RM62,000.

Kata Anwar, walaupun wujud tekanan yang mahukan calon Melayu bertanding di kerusi itu dan walaupun sedar isu perkauman dan keagamaan akan digunakan sepanjang tempoh kempen, PKR akan mempertahankan prinsip dasar keadilan semua kaum.

Menarik juga kenyataan Anwar ini, khasnya apabila prinsip dasar keadilan semua kaum ini akan digunakan untuk melawan seorang calon yang berwibawa dan berketrampilan yang pernah menjadi menteri besar Negeri Sembilan selama tiga penggal.

Dalam tiga PRU sebelum ini, Mohamad dilawan oleh calon Melayu PKR, iaitu Aisah Lamsah yang kalah dengan majoriti 4,613 dan 3,783 undi dalam PRU 13 dan PRU 12 serta Badrul Hisham Shaharin yang kalah dengan majoriti 6,199 undi dalam PRU 11.

Soal mengapa calon Melayu yang diturunkan oleh PKR dalam tiga PRU sebelum ini kini dirasakan tidak lagi memenuhi prinsip dasar keadilan semua kaum berbanding calon bukan Melayu biarlah kita tinggalkan kepada Anwar untuk menjawabnya.

Anwar mungkin masih teruja dengan kemenangan besar beliau dalam PRK P132 Port Dickson pada 13 Oktober 2018 yang menyaksikan beliau meningkatkan majoriti kemenangan dari 17,710 undi dalam PRU 14 menjadi 23,560 undi dalam PRK ini.

Apatah lagi bila komposisi pengundi P132 Port Dickson yang terdiri daripada 42.72% Melayu, 33.11% Cina dan 21.97% India tidak jauh berbeza dengan komposisi pengundi N27 Rantau yang terdiri daripada 53.43% Melayu, 27.01% India dan 18.81% Cina.

Begitupun, perlu diingat bahawa PRK P132 Port Dickson berlangsung dalam keadaan di mana Dr Ahmad Zahid Hamidi masih mengetuai Umno serta Anwar hanya melawan calon PAS setelah Umno memutuskan untuk memboikot PRK ini.

Zahid telah menyerahkan tugas-tugas presiden Umno kepada Mohamad pada 18 Disember 2018 dan beliau sejak itu telah, dengan sokongan kuat PAS, mengalahkan PH dalam PRK P78 Cameron Highlands dan PRK N24 Semenyih.

Dalam PRK P78 Cameron Highlands, Pahang, pada 26 Januari 2019, calon DAP sekali lagi dikalahkan dengan majoriti 3,238 undi manakala dalam PRK N24 Semenyih, Selangor, pada 2 Mac 2019 pula kerusi ini dirampas dari Bersatu dengan majoriti 1,914 undi.

Sementara N24 Semenyih merupakan kerusi majoriti Melayu, P78 Cameron Highlands merupakan kerusi campuran tetapi campurannya berbeza dengan campuran di P132 Port Dickson dan N27 Rantau kerana P78 Cameron Highlands memiliki 21.56% orang asli.

Jika PKR kalah dalam PRK N27 Rantau, yang merupakan kerusi campuran “sebenar”, maka ini akan memberikan petunjuk yang negatif terhadap masa depan PKR dan Anwar selaku presidennya dalam PRU 15 kerana kerusi campuran inilah tonggak PKR.

Isu perkauman dan keagamaan sudah pasti akan digunakan sepanjang tempoh kempen, apatah lagi apabila komposisi kerajaan negeri Negeri Sembilan yang tidak seimbang dengan 13 Adun bukan Melayu bukan Islam berbanding hanya 7 Adun Melayu Islam.

Bila calon yang diturunkan oleh PKR adalah calon bukan Melayu bukan Islam, mungkin akan dijadikan sebagai isu apa perlunya ditambah bilangan Adun bukan Melayu bukan Islam tatkala suara mereka sudah amat kuat dalam kerajaan negeri Negeri Sembilan.

Begitupun, cabaran yang terpaksa ditangani oleh Umno ialah jika isu perkauman dan keagamaan begini digunakan dengan meluas maka sudah tentu ia juga akan menjejaskan sokongan pengundi bukan Melayu bukan Islam kepada Mohamad.

Apa yang lebih baik ialah jika kempen dibuat bukan atas isu perkauman dan keagamaan, tetapi atas kekuatan peribadi calon dan atas kekuatan parti yang diwakili oleh calon dalam memperjuang dan menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh pengundi.

Apa pun, PRK N27 Rantau bakal membawa implikasi berbeza kepada Anwar dan Mohamad, malah ini terpampang dalam tajuk muka depan akhbar Berita Harian hari ini berbunyi “PRK DUN Rantau: Ujian Pengaruh Anwar, Ketokohan Mat Hasan”.

Sementara semua pihak terpaksa mengakui bahawa Anwar adalah seorang tokoh yang hebat jika Mohamad kalah dalam PRK N27 Rantau, masa depan Anwar juga dijangka akan menjadi lebih suram jika Mohamad menang. – 30 Mac, 2019.

*Kamarul Yusoff adalah penganalisis politik dan pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen